Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

17.06.2017_MAJLIS PELANCARAN EKSPORT IKAN KERAPU HIBRID

Syarikat Nur Nabai Aquaculture Sdn. Bhd. iaitu salah sebuah Syarikat yang giat dalam aktiviti penternakan ikan kerapu dalam sangkar, pada hari Sabtu, 17 Jun 2017 telah berjaya memulakan eksport sejumlah 3 tan ikan kerapu hibrid hidup ke pasaran Hong Kong. Syarikat yang mula beroperasi pada 30 Ogos 2016 yang lalu, ditempatkan di tapak seluas 6 hektar di Tapak Ternakan Ikan Tanjong Pelumpong, Daerah Brunei dan Muara. Syarikat Nur Nabai adalah usahasama di antara pelabur tempatan, iaitu Fisherod Enterprise dan syarikat pelabur dari Indonesia, PT Sumatera Budidaya Marine.

 

Hadir menyaksikan penghantaran pertama ikan-ikan kerapu hibrid tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Apong, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan; dan Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman, Ketua Kampung Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong - Zon 2.

 

Di samping aktibiti ternakan ikan dalam sangkar, syarikat usahasama berkenaan juga akan mulai menghasilkan anak-anak ikan kerapu hibrid melalui projek penetasan dan semaiannya di Kampong Sungai Paku di Daerah Tutong pada penghujung tahun ini. Penubuhan penetasan dan semaian ikan kerapu di Negara ini, bukan sahaja akan dapat menjamin harga yang lebih kompetitif bagi penternak-penternak ikan di Negara ini, malahan juga dapat mendokong bekalan anak-anak ikan yang mencukupi, berterusan dan berkualiti tinggi.

 

Syarikat Nur Nabai juga akan melaksanakan kerjasama dengan penternak-penternak ikan tempatan secara penternakan ikan berkontrak (contract farming).  Melalui inisiatif ini, syarikat berkenaan akan membekalkan anak-anak ikan kerapu hibrid untuk dibesarkan oleh penternak-penternak ikan tempatan dan Syarikat Nur Nabai akan membeli balik (buy back) ikan-ikan yang telah mencapai sais yang diperlukan, untuk dipasarkan ke pasaran Hong Kong dan Republik Rakyat China.

 

Menurut pegawai kanan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Syarikat Nur Nabai adalah salah sebuah daripada beberapa syarikat yang giat dalam aktibiti akuakultur dan sangat serius dalam melipatgandakan keluarannya dengan mensasarkan pasaran eksport. Walaupun baru beroperasi 10 bulan, Syarikat ini telah berjaya membuat eksport yang pertamanya keluar negeri.  Ini adalah selaras dengan aspirasi KSSUP dalam usaha membantu untuk mempelbagaikan aktibiti ekonomi dan merangsang pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Negara Brunei Darussalam.

 

"Syarikat Nur Nabai dijangka akan menghasilkan sebanyak 1,200 tan metrik ikan kerapu hibrid setahun menjelang tahun 2020 dengan jangkaan eksport bulanan sebanyak 100 tan metrik. Ini bererti Negara Brunei Darussalam berpotensi menjadi pengeluar terbesar ikan kerapu di Asean menjelang 2020," kata Micheal Cheong, pengurus Syarikat berkenaan.

 

Manakala Haji Abd. Rudi bin Haji Abd. Rahim, rakan kongsi tempatan berkata, Syarikat ini sangat bertuah kerana mempunyai rakan kongsi luar negara yang berpengalaman luas dalam aktiviti penternakan ikan kerapu dan juga mempunyai rangkaian pasaran export yang mantap di Hong Kong dan China. "Syarikat Nur Nabai juga sangat berterima kasih atas sokongan dan kerjasama yang kuat dari pihak Kerajaan terutama dari KSSUP," tambahnya.

 

Secara keseluruhan, projek yang dilaksanakan Syarikat Nur Nabai ini dijangka meningkatkan pengeluaran ikan dari aktibiti ternakan ikan dalam sangkar sebanyak 6 kali ganda menjelang tahun 2020 berbanding pengeluaran ditahun 2015, dimana syarikat juga berharap akan dapat menjana sebanyak 100 peluang pekerjaan.

 

Turut hadir di Majlis tersebut ialah Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Setiausaha Tetap, KSSUP dan pegawai-pegawai kanan dari KSSUP.

/Jabatan Perikanan

17 Jun 2017

Attachments