Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

8.7.2025_HARI NELAYAN

​Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dengan kerjasama Poni Group Sdn Bhd telah menganjurkan Hari Nelayan bersempena dengan Hari Lautan Sedunia yang berlangsung di Pantai Jerudong. Hadir selaku Tetamu Kehormat pada acara Hari Nelayan ini ialah Yang Mulia Haji Mohammad Yusree bin Haji Junaidi, Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan. Seramai 119 orang nelayan hadir pada hari nelayan ini.

Penganjuran acara ini adalah yang pertama kali dilaksanakan membawa tema utama Pemerkasaan Komuniti Nelayan dengan matlamat memperkukuhkan pembangunan sektor Perikanan serta menyokong kesejahteraan ekonomi negara. Nelayan memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan bekalan sumber makanan laut negara sentiasa mencukupi dan berterusan untuk rakyat Negara Brunei Darussalam. Antara pengisian utama sepanjang acara ini termasuk aktiviti pembuatan takat tiruan (reef balls) yang melibatkan penyertaan nelayan tempatan bagi pendedahan dan kemahiran asas mengenai teknik pembinaan takat tiruan sebagai salah satu usaha pemuliharaan habitat marin dan sokongan kepada sumber perikanan. Selain itu beberapa sesi taklimat seperti taklimat asas keselamatan di laut telah disampaikan oleh Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Negara Brunei Darussalam bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan para nelayan mengenai langkah-langkah keselamatan asas semasa berada di laut, serta tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi situasi kecemasan dan diikuti dengan taklimat mengenai pengawalan udang bakara dan ketam, turut disampaikan oleh Jabatan Perikanan bagi meningkatkan kesedaran para nelayan dan orang awam mengenai kepentingan pengurusan dan pemeliharaan sumber perikanan secara mampan melalui pematuhan kepada peraturan saiz tangkapan dengan mempamerkan tatacara pengukuran udang bakara dan ketam.

Antara aktiviti-aktiviti lain di acara tersebut termasuk penyediaan Kaunter Pelesenan Bergerak Perikanan bagi memudahkan nelayan untuk mendapatkan lesen alat menangkap ikan dan memastikan para nelayan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Perikanan serta menjalankan aktiviti penangkapan secara sah dan bertanggungjawab. Di samping itu, institusi perbankan seperti TAIB, BIBD dan Bank Usahawan bagi membuka peluang untuk mendapatkan pembiayaan, bimbingan perniagaan, bagi mengembangkan aktiviti ekonomi dan meningkatkan daya saing. Pameran enjin bot dan pelbagai peralatan menangkap ikan juga adalah antara aktiviti yang diadakan di acara tersebut sebagai pendedahan kepada teknologi dan inovasi terkini yang dapat meningkatkan efisiensi dan produktiviti operasi nelayan. 

Acara Hari Nelayan ini menjadi platform penting untuk meningkatkan kerjasama antara Agensi-Agensi Kerajaan, pertubuhan bukan Kerajaan (NGOs) dan komuniti nelayan-nelayan, di samping meningkatkan kesedaran berkenaan amalan perikanan yang selamat, bertanggungjawab dan lestari. Jabatan Perikanan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan kerjasama dalam menjayakan acara ini, khususnya para nelayan yang sentiasa menunjukkan komitmen tinggi dalam usaha 1 menyumbang kepada keselamatan makanan dan pembangunan negara. 




​Disediakan oleh Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan ​

Attachments