Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

10.7.2025_MAJLIS SAMBUTAN HARI LAUTAN SEDUNIA 2025

​Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dengan kerjasama Poni Group Sdn Bhd telah melabuhkan sebanyak 100 unit takat tiruan (Reef Balls) dalam empat saiz berbeza di perairan Pulau Pilong-Pilongan sempena sambutan Hari Lautan Sedunia 2025. Majlis pelancaran telah disempurnakan di Jabatan Perikanan, Muara oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, selaku Tetamu Kehormat. Turut hadir pada majlis ini ialah Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Tinggi dan Duta-Duta Besar, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Pegawai-pegawai kanan, serta pegawai dan kakitangan dari Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan bersama jabatan-jabatan di bawahnya.

Sebelum rombongan berangkat ke Pulau Pilong-Pilongan untuk menyaksikan aktiviti melabuhkan takat tiruan, Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan pembukaan oleh Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan. Taklimat mengenai aktiviti melabuh takat tiruan telah disampaikan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Azizi bin Mahali, Pegawai Perikanan. Turut diadakan sebagai sebahagian daripada sambutan Hari Lautan Sedunia adalah aktiviti-aktiviti seperti pameran serta kuiz interaktif dibukakan kepada pelajar sekolah-sekolah di Mukim Serasa, bermula dari jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang. Aktiviti-Aktiviti ini memberikan peluang pendidikan secara langsung kepada orang awam dan generasi muda mengenai kepentingan pemuliharaan ekosistem marin.

Tema sambutan Hari Lautan Sedunia bagi tahun ini, “Keajaiban: Menjaga Apa yang Menjaga Kita” (Wonder: “Sustaining What Sustains Us”), membawa mesej bahawa laut bukan sekadar sumber, bahkan ianya merupakan sistem kehidupan yang luas yang menyediakan sumber makanan, perlindungan dan membentuk identiti negara. Negara Brunei Darussalam mengiktiraf lautan sebagai tunjang utama kepada sektor marin dan perikanan, yang memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan makanan, menyediakan sumber pendapatan, membuka peluang ekonomi dan menjadi pemangkin kepada perdagangan serta pembangunan negara. 

Ekosistem marin negara juga tidak terlepas daripada pelbagai ancaman, terutamanya pencemaran laut akibat sisa plastik dan industri, serta alat tangkapan ikan yang terbiar (ghost nets), aktiviti penangkapan ikan yang berlebihan, pembangunan pesisir yang tidak terkawal, pemutihan karang (coral bleaching), serta pengasidan laut (ocean acidification) akibat perubahan iklim global telah menjejaskan keseimbangan rantaian makanan marin dan memberi kesan negatif kepada keseluruhan ekosistem. Oleh itu, penglibatan aktif komuniti tempatan serta sokongan padu daripada kerajaan adalah amat penting dalam usaha pemuliharaan dan pemulihan ekosistem marin. Acara pelabuhan takat tiruan yang telah dilaksanakan merupakan salah satu inisiatif Kerajaan untuk menyediakan habitat alternatif bagi hidupan marin, membantu memulihkan kawasan yang terjejas, serta menyokong kelestarian biodiversiti laut.

Antara usaha lain yang sedang giat dilaksanakan oleh Jabatan Perikanan dalam menghadapi cabaran pemuliharaan dan pengurusan lestari sumber marin negara termasuklah penekanan kepada pendekatan tadbir urus marin berasaskan data, melalui pelaksanaan penilaian stok ikan secara berterusan bersama Southeast Asian Fisheries Development Center (SEAFDEC), pembangunan Pangkalan Data Stok Perikanan Kebangsaan, serta penggunaan teknologi Artificial Intelligence (AI) dalam pemantauan kesihatan terumbu karang. Selain daripada program propagasi terumbu karang, usaha pemuliharaan dan pemulihan spesis rumpai laut yang terancam juga turut diberi perhatian sebagai sebahagian daripada langkah memastikan ekosistem marin kekal sihat dan seimbang.

Dalam masa yang sama, Jabatan Perikanan juga terus memperkukuhkan inisiatif lain seperti pewartaan lebih 20 peratus kawasan perairan negara sebagai Kawasan Perlindungan Marin (Marine Protected Areas) bagi mencegah penangkapan ikan berlebihan dan melindungi biodiversiti marin, larangan penangkapan ikan yu, pembekuan pengeluaran lesen baharu bagi penggunaan alat pukat tunda dan menggalakkan penggunaan alat menangkap ikan yang lestari dan mesra alam. 

Dalam usaha membangunkan ekonomi biru yang berdaya tahan dan inklusif, Jabatan Perikanan akan terus memainkan peranan aktif dengan menyokong serta memudah cara peluang perniagaan melalui kerjasama strategik bersama institusi berkaitan, termasuk institusi perbankan dan pihak-pihak berkepentingan lain. Usaha ini bertujuan untuk memperkukuh rangkaian kerjasama, mendorong inovasi, dan memastikan pertumbuhan sektor perikanan yang mampan. Namun demikian, pemantauan dan penguatkuasaan bagi memerangi penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal (Illegal, Unreported and Unregulated fishing) akan terus dipertingkatkan lagi melalui penguatkuasaan Pelan Tindakan Nasional serta penggunaan sistem pemantauan kapal seperti Vessel Monitoring System dan Automatic Identification System (AIS). 

Seiring dengan itu, pelbagai kempen kesedaran seperti Kempen Pembersihan Pantai (Coastal Clean Up) serta Kempen Bebas Plastik dan Botol Plastik diteruskan dan diperkukuhkan lagi bagi mengurangkan pencemaran laut serta mendidik masyarakat awam mengenai kesan buruk pencemaran laut dan sama-sama memainkan peranan dalam menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar marin. 

Sempena Sambutan Hari Lautan Sedunia 2025, adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk menyedari bahawa lautan Negara Brunei Darussalam bukan sekadar sumber kekayaan semula jadi, malah merupakan aset strategik negara yang menuntut penjagaan dan pengurusan secara menyeluruh dan bersepadu. Jaminan dalam memastikan ekosistem marin negara kekal sihat, berdaya tahan, dan terus menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat serta pembangunan lestari untuk generasi kini dan akan datang hanya akan dapat diperolehi melalui pelaksanaan strategi secara holistik yang menggabungkan sains, dasar, serta penglibatan aktif masyarakat. 



​Disediakan oleh Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan​

Attachments