Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

25_01_2021_LAWATAN YANG BERHORMAT AHLI-AHLI MAJLIS MESYUARAT NEGARA KE TAPAK-TAPAK PERUSAHAAN PERTANIAN DAN PERIKANAN DI DAERAH TUTONG

Bandar Seri Begawan. Isnin, 25 Januari 2021M - Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) hari ini melawat beberapa lokasi tapak-tapak perusahaan pertanian dan perikanan di Daerah Tutong, iaitu sebagai lanjutan dari siri lawatan yang telah diadakan pada hari Rabu, 20 Januari 2021 yang lalu. Lawatan hari ini merupakan siri lawatan yang kedua yang diaturkan oleh pihak Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, yang bertujuan bagi mengongsikan dan seterusnya memberikan kefahaman serta memberigakan mengenai dengan perkembangan dan pencapaian terkini aktiviti-aktiviti atau kegiatan-kegiatan perusahaan yang berkaitan dengan industri pertanian dan perikanan di Daerah Tutong. Program lawatan kerja ini juga diaturkan bagi memberikan pendedahan kepada Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara mengenai dengan penglibatan anak-anak tempatan dalam perusahaan pertanian dan perikanan samada sebagai pemilik secara persendirian ataupun usahasama (joint-venture) dengan pengusaha-pengusaha asing; dan juga peluang-peluang pekerjaan yang disediakan kepada anak-anak tempatan.

 Seramai 16 orang rombongan Yang Berhormat Ahli -Ahli Majlis Mesyuarat Negara telah menyertai program lawatan ini, yang mana disertai sama oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Apong, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, dan Yang Mulia Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan. Turut menyertai lawatan tersebut ialah Yang Mulia Awang Mohd Yusree bin Hj Junaidi, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan; Yang Mulia Pemangku Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Yang Mulia Pemangku Pengarah Perikanan serta beberapa orang pegawai kanan dari Kementerian dan Jabatan-Jabatan di dalamnya.

 Lawatan pertama rombongan Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dimulakan di Tapak Ternakan Udang Sungai Penyatang seluas 200 hektar yang dipunyai oleh Syarikat Golden Corporation Sdn Bhd yang mana mula beroperasi pada tahun 2016 dan diurus oleh Awang Richard Chuang Hsi Sha. Tapak tersebut mempunyai 138 buah kolam, iaitu ladang ternakan udang terbesar di Negara ini. Hasil keseluruhan keluaran ladang syarikat tersebut pada tahun 2020 adalah berjumlah hampir 2,800 tan metrik bernilai $23 juta berbanding dengan tahun 2019 yang hanya mencatatkan keluaran sebanyak 390.76 tan metrik bernilai $3.48 juta. Hasil keluaran ladang ini dipasarkan di pasaran tempatan dan juga diekspot keluar negara, diantaranya ke Australia, Jepun, Hong Kong, Singapura, dan Republik Rakyat China. Pada masa ini, syarikat mempunyai seramai 97 orang pekerja yang terdiri dari 92 orang warga asing and 5 orang tempatan yang bekerja di ladang ternakan tersebut.

Dari Syarikat Golden Corporation Sdn Bhd, lawatan diteruskan ke Syarikat PDS Abattoir Sdn Bhd yang terletak di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Batang Mitus. Syarikat PDS Abattoir Sdn Bhd adalah merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mana Darussalam Assets Sdn Bhd adalah pemegang saham majoriti. Disini, rombongan Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara berkesempatan mendengar penerangan mengenai dengan perkembangan serta kemajuan terkini yang telah dicapai oleh pihak syarikat, termasuk di bawa melawat bagi melihat kemudahan-kemudahan yang telah dibangunkan, khususnya, bagi aktiviti pemeliharaan ternakan ruminan melalui sistem fidlot. Pada tahun 2020, jumlah hasil ternakan yang berjaya dikeluarkan oleh pihak Syarikat adalah sebanyak 5,526 ekor lembu dan 976 ekor kerbau. Pada masa ini, Syarikat mempunyai seramai 72 orang pekerja yang mana 38 adalah terdiri dari anak tempatan.

Rombongan Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara seterusnya melawat ke tapak Syarikat Green Technology Farm yang juga terletak di KKP Batang Mitus, yang mengusahakan aktiviti perladangan tanaman buah-buahan, khususnya tanaman pisang Cavendish. Syarikat ini telah ditawarkan tapak seluas 24 hektar pada tahun 2018, di bawah projek rintis bagi mengusahakan tanaman pisang. Setakat ini, pihak syarikat belum lagi mengeluarkan hasil dari tanaman pisang yang diusahakan dan dijangkakan akan mula mengeluarkan hasil pada tahun ini. Pada masa ini, Syarikat mempunyai 5 orang pekerja yang terdiri dari 1 orang anak tempatan. Sesi lawatan diakhiri dengan lawatan ke tapak perusahaan Syarikat Diyana 'Aliah Enterprise yang terletak di Lot 5 dan Lot A, KKP Batang Mitus berkeluasan 10 hektar. Syarikat yang diurus oleh Dayang Diyana 'Aliah binti Abdullah telah ditawarkan tapak ini pada tahun 2019 bagi menjalankan perusahaan tanaman buah-buahan tidak bermusim dengan tanaman Pisang Berangan dan Pisang Madu sebagai tanaman utama. Pada tahun 2020, melalui penghasilan dari tanaman sampingan, syarikat telah berjaya menghasilkan keluaran sebanyak 4,765 kg bernilai $7,875.49. Pada masa ini, Syarikat mempunyai 3 orang pekerja yang terdiri dari 2 orang anak tempatan.

Program lawatan bagi Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara akan diteruskan lagi dengan siri lawatan ketiga iaitu lawatan ke Tapak -Tapak Perusahaan Pertanian dan Pelancongan di Daerah Temburong yang akan diadakan pada hari Rabu, 27 Januari 2021.




Dikeluarkan oleh:


Unit Perhubungan Awam

Bahagian Pengurusan dan Kewangan

Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan

Tarikh: 25 Januari 2021


Attachments