Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

20_03_2021_SEMPENA ULANG TAHUN HARI KEBANGSAAN KE-37 MINI KARNIVAL PERIKANAN DAN PERTANIAN PASAR KITANI

​Bandar Seri Begawan, Sabtu 20 Mac - Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan Jabatan Perikanan dengan kolaborasi bersama Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS) dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) telah mengadakan Gerai Hujung Minggu Pasar Kitani sempena sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke 37 yang berlangsung selama 2 hari mulai hari Sabtu, 20 Mac 2021 hingga hari Ahad, 21 Mac 2021 bermula dari jam 6.00 pagi hingga 5.30 petang. 

Program ini adalah salah satu inisiatif dan usaha bagi mendokong para pengusaha pertanian dan perikanan dalam membekalkan hasil segar tempatan berkualiti tinggi terus kepada pengguna serta menggalakkan kelestarian persekitaran. Ia juga menjadi Pusat Pengedaran dan Value Chain bagi pengimbangan komoditi impot serta platform bagi para pengusaha berinteraksi dengan orang awam dalam mempromosikan hasil segar dari ladang masing-masing yang seterusnya akan memperluaskan lagi rangkaian pemasaran. Seramai 97 pengusaha-pengusaha tempatan yang berdaftar di bawah Jabatan Pertanian dan Agrimakanan; dan Jabatan Perikanan di Negara Brunei Darussalam menyertai petak jualan yang disediakan bagi acara tersebut untuk penjualan produk-produk yang berasaskan daripada pertanian dan perikanan. Selain itu, bagi edisi Program Pasar Kitani sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam kali ke 37 pada tahun ini turut menyediakan taklimat-taklimat dalam pelbagai perkara-perkara yang berkaitan dengan teknologi yang digunakan dalam industri pertanian seperti Reka Bentuk Rumah Terlindung Yang Sesuai Bagi Penanaman Daun Salad (Lettuce), Perkhidmatan Drone, Pengurusan Tanaman Hidroponik, Aplikasi AgromeIQ dan taklimat mengenai Konsultasi dalam memenuhi piawaian Good Agricultural Practices (GAP). 

Acara tersebut juga turut menyediakan pelbagai aktiviti sampingan seperti senamrobik dan pelbagai tunjuk cara dalam penyediaan produk-produk makanan dan minuman dari agensi kerajaan dan swasta seperti cara penyediaan pais cendawan dan sos rojak, penyediaan Jus Kedondong dan Jus Kasturi serta penyediaan Produk Perikanan seperti Ikan Liking dan Ikan masin. Pengusaha-pengusaha dan orang ramai yang menghadiri atau mengunjungi acara tersebut diharapkan akan dapat memperluaskan lagi pasaran dan jaringan perniagaan, 'business matching' serta pengetahuan melalui taklimat-taklimat dan tunjuk cara yang disediakan oleh pihak kerajaan dan swasta mengenai hal ehwal yang berkaitan dengan sektor pertanian dan perikanan di Negara Brunei Darussalam. Selain itu, program acara ini juga diharapkan dapat membantu dalam meningkatkan lagi keluaran hasil ladang untuk menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negara Brunei Darussalam khususnya di dalam sektor pertanian, agrimakanan dan perikanan. Pada masa yang sama, akan dapat meningkatkan hasil pengeluaran ladang serta mengembangkan dan memajukan lagi perniagaan para pengusaha-pengusaha dan peladang-peladang tempatan. 

​Disediakan oleh: Jabatan Pertanian dan Agrimakanan & Jabatan Perikanan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan

Attachments