Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

29.07.2017_LAWATAN KERJA AHLI-AHLI YANG BERHORMAT MAJLIS MESYUARAT NEGARA KE TAPAK-TAPAK PERUSAHAAN PERTANIAN DAN PERIKANAN KEMENTERIAN SUMBER-SUMBER UTAMA DAN PELANCONGAN KE DAERAH BRUNEI DAN MUARA

Hari Sabtu, 05 Zulkaedah 1438H / 29 Julai 2017

 

Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan telah mengendalikan program lawatan ketapak-tapak perusahaan pertanian dan perikanan khusus bagi Ahli-Ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Negara. Program lawatan berkenaan antara lain bertujuan bagi memberi peluang kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Negara   untuk mengetahui pembangunan dan perkembangan industri-industri pertanian dan perikanan di negara ini, dan seterusnya mendapatkan gambaran serta maklumat-maklumat yang bermanfaat jua untuk disampaikan kepada penduduk dan pihak-pihak yang berkepentingan dalam pengawasan pihak Ahli-Ahli Yang Berhormat berkenaan.

Lawatan pada hari ini, Sabtu, 29hb Julai 2017 adalah dikhususkan bagi program lawatan ke tapak-tapak perusahaan perikanan, dan antara lain bertujuan bagi mengetahui dengan lebih dekat lagi berhubung dengan kemajuan pengusaha-pengusaha perikanan khususnya di Daerah Brunei dan Muara.

Rombongan Ahli-Ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Negara mula-mula diberikan penerangan dan taklimat berhubung dengan tujuan lawatan ini dan juga mengenai perancangan strategik Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, secara amnya dan khususnya mengenai dengan industri perikanan yang disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Mariani bte Haji Sabtu, Pemangku Timbalan Pengarah Perikanan.

Program lawatan hari ini dimulakan dengan meninjau ke tapak perusahaan penetasan dan penghasilan induk udang jenis Rostris di Meragang; Golden Broodstock Development Center, yang diusahakan oleh Syarikat Golden Corporation Sdn Bhd.  Syarikat ini merupakan sebuah syarikat yang diusahakan oleh pelabur asing daripada Negara Taiwan dan juga merupakan syarikat pengeluar dan pengusaha ternakan udang Rostris dalam kolam yang terbesar di Negara ini. Terdapat 13 orang tenaga kerja tempatan yang bertugas di syarikat ini, yang sangat berpengalaman dalam penetasan dan penghasilan induk udang Rostris. Tapak penetasan seluas 1.939 hektar bagi syarikat tersebut dilengkapi dengan beberapa kemudahan, peralatan dan lain-lain kelengkapan bagi aktibiti pembiakan dan penghasilan induk udang Rostris.  Sejumlah 2,000 ekor induk udang Rostris dapat dihasilkan setiap bulan.  Induk-induk udang Rostris dihasratkan untuk dibekalkan kepada pengusaha penetasan udang Rostris tempatan. Di masa yang sama kearah kesinambungan pembangunan industri ternakan udang Rostris tempatan dan bagi memastikan kualiti udang-udang rostris yang dihasilkan sentiasa ditahap yang sangat baik. Syarikat ini juga membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D) sendiri bagi menghasilkan baka-baka udang Rostris yang berkualiti dan bermutu tinggi. Negara Brunei Darussalam adalah antara dua buah Negara di dunia ini yang menghasilkan udang Rostris di samping negara New Caledonia.

Seterusnya rombongan dibawa meninjau ke perusahaan syarikat tempatan iaitu Syarikat Rahman and Tew Sdn Bhd yang diusahakan oleh Awang Chua Kim Kok. Syarikat ini mengusahakan pemprosesan produk ikan beku di Bangunan Penyimpanan dan Pemprosesan Makanan Laut berdekatan Kompleks Pendaratan Ikan Muara. Syarikat ini mula menghasilkan ikan beku pada bulan Ogos 2016, dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan seperti satu (1) unit bilik pemprosesan ikan; satu (1) unit 20 tan metrik dan satu(1) unit 100 tan metrik cold storage. Pada tahun 2016, syarikat ini telah dapat menghasilkan 74.65 tan metrik ikan beku. Sasaran bagi tahun 2017 ialah 936 tan metrik ikan beku setahun.  Sebahagian hasil keluaran ikan beku syarikat ini telah dapat dieksport ke negara luar negara, iaitu negara Vietnam. 

Bagi mengetahui kemajuan perusahaan ternakan ikan laut dalam sangkar terapong, rombongan Ahli-Ahli Yang Berhormat kemudian beredar ke kawasan-kawasan Tanjong Pelumpong dan Pulau Kaingaran dengan menaiki bot yang disediakan oleh pihak Jabatan Perikanan. Perusahaan ternakan ikan laut dalam sangkar terapong adalah aktibiti akuakultur utama bagi pengeluaran pelbagai jenis ikan laut yang berkualiti dan bernilai tinggi.  Terdapat sejumlah 242 hektar kawasan yang dikenalpasti oleh pihak Jabatan Perikanan khusus bagi perusahaan ternakan ikan laut dalam sangkar seperti di kawasan Tanjong Pelumpong (166 hektar), Pulau Kaingaran (14 hektar), Sungai Bunga (14 hektar) dan Buang Tawar (12 hektar) manakala sejumlah 36 hektar di kawasan Sungai Dua, Daerah Belait. 

Lawatan di Tanjong Pelumpong dimulakan ke tapak ternakan ikan kepunyaan Syarikat O.D.E Aquaculture and Agriculture Co. milik Awg Hj Azahari bin Hj Chuchu dan isterinya Dayang Hajah Nikmah binti Haji Ibrahim. Syarikat ini telah ditawarkan tapak seluas empat (4) hektar dan pada masa ini mempunyai sebanyak 270 buah sangkar-sangkar ikan.  Ikan-ikan yang diternak ialah ikan kerapu, selungsong, ikan merah, ikan putih dan juga ikan belanak sembawa (milkfish).  Pada tahun 2015 syarikat ini mempunyai 224 buah sangkar ikan di Tapak Ternakan Ikan kawasan Buang Tawar seluas satu (1) hektar dimana tempat Syarikat mula berkecimpung dalam perusahaan ternakan ikan dalam sangkar dengan penghasilan kira-kira 16 tan metrik.  Syarikat ini mengembangkan perusahaan beliau dan diberikan tapak seluas 1 hektar di Tapak Ternakan Ikan kawasan Tanjong Pelumpong dan membangunkan sebanyak 270 buah sangkar ikan.  Pada keseluruhannya pada tahun 2016 syarikat mempunyai 2 hektar kawasan ternakan ikan bagi kedua-dua tapak dengan jumlah sangkar sebanyak 494 buah manakala penghasilan ikan syarikat pada tahun 2016 adalah sejumlah 24.5 tan metrik ikan; iaitu tambahan 270 buah sangkar ikan dan peningkatan hasil sebanyak 8.5 tan metrik (53.13%) dari tahun sebelumnya. Manakala pada tahun 2017, melihat peningkatan hasil yang menguntungkan dan permintaan yang tinggi bagi ikan ternakan syarikat ini membesarkan lagi kawasan di Tanjong Pelumpong dari 1 hektar sehingga 4 hektar yang ada sekarang.  Ikan-ikan hasil keluaran ladang syarikat ini dipasarkan ke pasaran tempatan dan juga ke Restoran Aminah Arif iaitu kumpulan restoran milik syarikat berkenaan. Syarikat ini berpotensi bagi menghasilkan kira-kira 750 tan metrik ikan setiap tahun. Syarikat ini berpotensi bagi menghasilkan kira-kira 1,340 tan metrik ikan setiap tahun menjelang tahun 2020.

 

Seterusnya rombongan melawat ke tapak perusahaan Syarikat Nur Nabai Aquaculture Sdn Bhd yang dimiliki oleh dua orang rakankongsi iaitu Awg Hj Abd Rudi bin Hj Abd Rahim, pelabur tempatan dan Awg Michael Cheung, pelabur dari Republik Indonesia.  Syarikat ini telah ditawarkan tapak seluas 6 hektar dan pada masa ini mempunyai lebih 80 buah sangkar-sangkar ikan bagi menghasilkan ikan kerapu jenis hybrid.  Syarikat ini mula beroperasi pada penghujung tahun 2016 dan telahpun mengeksport sejumlah 3 tan metrik ikan kerapu hybrid pada 17 Jun 2017 dan sejumlah 3.5 tan metrik lagi pada 26 Julai 2017 bagi pasaran ke Hong Kong.  Syarikat ini mensasarkan pengeluaran sejumlah 1,200 tan metrik setahun daripada lebih 1,000 buah sangkar menjelang tahun 2020 nanti di mana sejumlah 30 tan metrik sebulan adalah bagi eksport ke pasaran Hong Kong.

Lawatan rombongan Ahli-Ahli Yang Berhormat diteruskan lagi dengan lawatan ke Tapak Ternakan Ikan di kawasan Pulau Kaingaran, dan tumpuan adalah ke tapak perusahaan Syarikat Hjh Rosni Bte Hj Kassim dan Anak-Anak iaitu sebuah syarikat tempatan milik Awg Hj Bakar bin Hj Chuchu.  Syarikat ini mempunyai tapak seluas 1 hektar dan mempunyai sejumlah 117 buah sangkar-sangkar ikan.   Ikan-ikan yang diternak ialah ikan selungsong, ikan kerapu, ikan merah, ikan putih dan juga kupang hijau.  Pada tahun 2015, syarikat ini mempunyai 34 buah sangkar-sangkar ikan dengan penghasilan sejumlah 1.15 tan metrik, manakala pada tahun 2016, syarikat ini memiliki sebanyak 117 buah sangkar-sangkar ikan dan telah berupaya menghasilkan sejumlah 13 tan metrik ikan; iaitu tambahan 93 buah sangkar ikan dan peningkatan hasil kira-kira 11.85 tan metrik (1,030%) dari tahun sebelumnya. Hasil keluaran ladang syarikat ini telah dijual ke pasaran tempatan seperti di Pasar Ikan Gadong, restoran-restoran dan orang-orang persendirian.  Syarikat berkenaan juga telah ditawarkan dengan satu lagi tapak seluas 1 hektar bertempat dikawasan Tanjung Pelumpong untuk mengusahakan ternakan ikan kerapu.  Syarikat berpotensi bagi menghasilkan sebanyak 536 tan metrik ikan setahun menjelang tahun 2020.

Akhir sekali, rombongan Ahli-Ahli Yang Berhormat dibawa membuat lawatan ke tapak perusahaan Syarikat Helif Aquaculture Sdn Bhd di kawasan Ternakan Udang Mentiri Zon II. Syarikat ini merupakan syarikat usahasama antara pelabur tempatan dengan pelabur dari Negara Malaysia.  Syarikat ini diberikan tapak seluas 16 hektar dengan sejumlah 17 buah kolam yang digunakan untuk memelihara udang Rostris. Hasil ladang dijual ke pasaran tempatan seperti restoran-restoran, pasar-pasar raya, kilang pemprosesan makanan laut dan juga orang-orang persendirian.  Pada tahun 2015, syarikat ini telah menghasilkan sejumlah 214 tan metrik udang Rostris manakala pada tahun 2016, syarikat ini telah berjaya menghasilkan sejumlah 268.4 tan metrik udang Rostris, iaitu peningkatan sebanyak 54.4 tan metrik (25.42%) dari tahun sebelumnya. Sasaran penghasilan syarikat ini pada tahun 2017 adalah sejumlah 262.5  tan metrik. (to insert Data for 2017) Syarikat berhasrat untuk membesarkan lagi ladangnya memandangkan permintaan yang tinggi dari dalam dan luar negara dan berpotensi menghasilkan sehingga 380 tan metrik udang setahun menjelang tahun 2020.

Lawatan rombongan Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara telah dapat melihat aktibiti-aktibiti perekonomian yang terdapat dalam sektor perikanan khususnya perusahaan akuakultur yang juga menjadi fokus industri yang akan dikembangmajukan dalam Rancangan Strategi Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan bagi lima tahun iaitu dari tahun 2016 hingga tahun 2020 nanti. Pada masa ini hasil perikanan tempatan telah dapat menembusi pasaran eksport seperti udang Rostris Negara ini yang telah berjaya menembusi pasaran eksport antaranya ke negara Australia, Amerika Syarikat, China, Jepun dan Korea dan juga hasil ikan hidup dieksport ke pasaran                       Hong Kong.

Program lawatan kerja rombongan Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara akan disambung pada hari Isnin, 31hb Julai 2017 dan hari Rabu, 02hb Ogos 2017 ke tapak-tapak perusahaan pertanian dan perikanan yang lain.

Di keluarkan oleh:

Jabatan Perikanan

Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan

Attachments