
Pemprosesan Ikan di Negara Brunei Darussalam
Divisyen
Perkembangan Pengendalian dan Kawalan Kualiti,
Jabatan Perikanan,
Kompleks Pendaratan Ikan, Serasa, Muara,
Negara Brunei Darussalam.
bruneifisheries@brunet.bn
Pendahuluan
Negara Brunei
Darussalam dikurniakan dengan sumber-sumber perikanan yang sebahagiannya
masih lagi belum diterokai sepenuhnya. Sumber-sumber yang telah diterokai
adalah bagi tujuan sumber makanan dan juga sumber bahan mentah bagi
industri pemprosesan dan akuakultur. Negara Brunei Darussalam telah
mengeksploitasi sumber-sumber tersebut secara komersil sejak awal tahun
lapan pulohan. Bagaimanapun, industri-industri akuakultur dan pemprosesan
bermula kemudian.
Jabatan Perikanan,
Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama (JPi, KPSU), telah
menganggarkan nilai industri perikanan berjumlah kira-kira B$ 200 juga
setahun secara berkekalan. Dari ini, kira-kira B$ 112 juta (56%) adalah
sumbangan dari industri penangkapan ikan, B$ 71 juta (35%) dari industri
akuakultur dan selebihnya B$ 17 juta (9%) dari industri pemprosesan
makanan laut.
Penghasilan dari
industri perikanan bagi tahun 2001 ialah 10,343 tan metrik (t.m.), 339.4
t.m., dan 273.1 t.m. masing-masing bagi industri-industri penangkapan ikan,
akuakultur dan pemprosesan. Dari segi nilai, masing-masing berjumlah B$
45.9 juta, B$ 3.8 juta dan B$ 2.5 juta (JPi). Sumbangan kepada Keluaran
Dalam Negeri Kasar masih lagi ditahap yang rendah iaitu sebanyak B$ 45.3
juta pada tahun 2001 (JPKE). Nilai pengeksportan produk-produk makanan
laut tempatan cuma B$ 1.63 juta pada tahun 2001 sementara nilai
pengimportan setinggi B$ 73.6 juta pada tahun yang sama.
Ikan-ikan dari industri
penangkapan dan akuakultur dijual terus di pasar-pasar, dieksport atau
digunakan oleh industri pemprosesan. Ini terutama sekali bagi ikan-ikan
yang tidak dapat dipasarkan dan bernilai rendah dari industri penangkapan
ikan dimana ianya dieksport dan digunakan bagi tujuan pemprosesan.
Ikan-ikan tersebut tidak menerima pasaran tempatan disebabkan oleh
keperluan pengguna yang menghendaki ikan yang bernilai tinggi / kualiti
baik dipasaran tempatan.
Oleh yang demikian,
sebahagian ikan-ikan tersebut digunakan sebagai sumber bahan mentah bagi
industri pemprosesan. Antara produk-produk yang dihasilkan ialah bebola
ikan, kek ikan, sate ikan, keropok, ikan kering dan masin, dan ikan
liking. Ada juga digunakan sebagai makanan ikan bagi industri akuakultur.
Aktiviti-Aktiviti
Pemprosesan Ikan
Jenis
Produk
Produk-produk
makanan laut tradisi termasuk keropok, ikan kering, ikan masin, belacan
dan liking. Produk-produk tersebut dihasilkan secara manual oleh suri-suri
rumahtangga atau sekelompok wanita di rumah-rumah. Mereka ini ditakrifkan
oleh Jabatan Perikanan sebagai pengusaha kecil-kecilan.
Dengan
peredaran masa dan wujudnya mesin-mesin, jumlah dan banyaknya pengusaha
juga meningkat. Sebahagian telahpun beredar dari penghasilan di
rumah-rumah kepada kilang-kilang dengan mengambil pekerja tambahan.
Walaubagaimanapun, pengusaha kecil-kecilan masih lagi wujud dan
kebanyakannya menghasilkan produk-produk tradisi bagi pelanggan tetap.
Pengusaha-pengusaha
komersil menghasilkan kuantiti yang tinggi dan berlainan produk.
Jenis-jenis makanan laut yang dihasilkan oleh pengusaha-pengusaha ini
termasuk ikan / udang beku, produk sejuk. produk-produk tambah nilai
seperti kek ikan, bebola ikan, burger ikan, nuget ikan, keropok dan ikan
asap.
Keropok
udang keluaran tempatan
Pengusaha
Pemprosesan
Cara
operasi pengusaha-pengusaha pemprosesan berbeza dan tertakluk kepada skala
penghasilan. Pengusaha kecil-kecilan beroperasi di rumah-rumah sementara
pengusaha-pengusaha komersil beroperasi di ruang-ruang kedai dan kilang
pemprosesan yang khusus bagi tujuan tersebut.
Walaupun
pengusaha pemprosesan belum lagi diperlukan untuk berdaftar dengan Jabatan
Perikanan, aktiviti-aktiviti mereka, bagaimanapun, dipantau terutama
sekali pengusaha-pengusaha komersil. Nasihat-nasihat teknikal melalui
lawatan-lawatan ke kilang-kilang, perbincangan dan latihan serta
tunjukajar diberikan kepada mereka bagi memastikan mereka dapat beroperasi
dengan lancar.
Jumlah
pengusaha pemprosesan berpandukan jenis aktiviti-aktiviti mereka terlibat
seperti Jadual 1. Pengusaha komersil berkecimpung dalam aktiviti-aktiviti
pemprosesan ikan / udang beku, penghasilan produk-produk tambah nilai dan
produk keropok.
| Aktiviti |
Jumlah
Pengusaha |
Kategori
Industri |
| Ikan / Udang beku |
1 |
Komersil |
| Ikan / Udang
sejuk |
1 |
Komersil |
| Ikan asap |
1 |
Komersil |
| Produk
tambah nilai |
4 |
Komersil |
| 1 |
Kecil-kecilan |
| Keropok |
6 |
Komersil |
| 6 |
Kecil-kecilan |
| Ikan kering /
masin |
13 |
Kecil-kecilan |
| Belacan |
19 |
Kecil-kecilan |
| Liking |
16 |
Kecil-kecilan |
| Salai |
8 |
Kecil-kecilan |
Jadual
1 : Jumlah pengusaha mengikut aktiviti (Sumber, Jabatan Perikanan (JPi)).
Sebahagian
dari contoh ikan liking, ikan asap dan ikan salai tempatan
Data
Penghasilan
Bagi lima tahun
kebelakangan, penghasilan makanan laut adalah seperti Jadual 2 dari Rajah
1.
| Produk
/ Tahun |
1997 |
1998 |
1999 |
2000 |
2001 |
| Ikan /
Udang beku |
13.5 |
19.2 |
103.8 |
71.3 |
38.3 |
| Ikan /
Udang sejuk |
10.1 |
8.6 |
11.2 |
6.9 |
4.2 |
| Produk
tambah nilai |
117.0 |
106.5 |
112.2 |
133.0 |
124.6 |
| Keropok |
8.8 |
20.5 |
22.3 |
34.0 |
51.9 |
| Kering
/ masin |
2.1 |
1.7 |
1.5 |
1.6 |
0.4 |
| Liking
/ belacan |
12.5 |
4.6 |
7.2 |
10.1 |
5.0 |
| Asap /
salai |
49.0 |
35.5 |
59.7 |
61.4 |
48.7 |
| Jumlah |
213.0 |
196.6 |
317.8 |
318.3 |
273.1 |
Jadual 2 : Penghasilan
industri pemprosesan dari tahun 1997 hingga 2001 (Sumber : JPi).
Rajah 1 : Penghasilan
industri pemprosesan dari tahun 1997 hingga 2001 (Sumber : JPi).
Nilai industri bagi
tahun 2001 ialah B$ 2.5 juta. Jumlah ini hanya mencapai kira-kira 15 %
dari nilai industri yang dianggarkan iaitu sebanyak B$ 17 juta.
Penghasilan menurun
pada tahun 2001 disebabkan oleh kurang pasaran. Kebanyakan pengusaha hanya
akan menghasilkan jika ada permintaan pasaran. Adakalanya mereka akan
berhenti beroperasi semata-mata untuk menghabiskan stok yang ada.
Bahan
Mentah
Bahan mentah bagi
kegunaan industri pemprosesan ikan datangnya dari bekalan tempatan dan
luar negara. Industri penangkapan ikan menghasilkan sebanyak 10,343 t.m.
pada tahun 2001 dan dari jumlah ini sebanyak 3,500 t.m. adalah dari
pengusaha komersil. Dan sebanyak tujuh puloh peratus dari hasil tersebut
dibuang ke laut disebabkan oleh tiada pasaran dan sais kecil. Ikan-ikan
tersebut termasuk ikan Pulut-Pulut (ponyfish, leiognathus sp),
Bantang (goatfish, upeneus sulphureus), Kerosi (threadfin bream, polynemus
erumel), Gelama (croaker, sciaena sp), dll. Oleh sebab tiada
pasaran, ikan-ikan ini digunakan oleh pengusaha pemprosesan sebagai bahan
mentah. Antara produk yang dihasilkan ialah seperti burger ikan, nuget
ikan, bebola ikan.
Dengan pertumbuhan
industri akuakultur tempatan, pembekalan makanan ikan bagi industri
ternakan ikan adalah diperlukan. Sebahagian ikan-ikan yang tidak dapat
dipasarkan diambil dan digunakan oleh pengusaha-pengusaha sangkar ikan
sebagai makanan ikan bagi ikan mereka. Pemprosesan yang mudah seperti
membuang tulang dan me'mincing' isi ikan dilakukan oleh mereka untuk
menghasilkan makanan ikan. Aktiviti seperti ini mempunyai potensi untuk
dijadikan sebagai satu aktiviti industri membekalkan makanan ikan.
Pemasaran
Pemasaran produk-produk
makanan laut berbeza mengikut peredaran masa. Produk-produk yang
dihasilkan oleh pengusaha kecil-kecilan secara tradisinya dijual oleh
padian atau di kawasan tamu. Adakalanya ia dijual secara langsung dari
rumah atau melalui sanak saudara dan kawan-kawan. Kos operasi bagi
strategi pemasaran seperti ini adalah kecil. Jumlah produk yang dijual
adalah juga kecil.
Sekarang, produk-produk
makanan laut boleh didapati dari pasar-pasar raya dan kedai-kedai runcit.
Berbagai jenis produk boleh dibeli.
Memandangkan sais
penduduk negara ini yang kecil, pemasaran bagi produk tempatan juga kecil
dan terhad. Oleh yang demikian, pengusaha-pengusaha mendapati pemasaran
produk begitu kompetitif di pasaran tempatan. Ini ditambah lagi dengan
kewujudan produk-produk yang sama dari negara jiran di pasaran tempatan.
Jabatan Perikanan sentiasa menggalakkan pengusaha-pengusaha tempatan untuk
lebih berdaya saing dan terlibat sama dalam pasaran antarabangsa. Ini
terutama sekali dari segi pemasaran produk halal yang dianggarkan bernilai
kira-kira AS$ 50 billion setahun di pasaran antarabangsa.
Produk tambah nilai
seperti bebola ikan, kek ikan dan nugget ikan tempatan
Kawalan
Kualiti dan Keselamatan Makanan
Dengan
perkembangan teknologi, globalisasi, sofistikated dan kesedaran awam,
makanan bagi kegunaan manusia dihasilkan dipersekitaran kilang yang bersih
menggunakan sistem pengurusan kawalan kebersihan. Ini lebih-lebih lagi
bagi produk yang dihasilkan bagi tujuan eksport.
Walaupun,
hanya sebahagian sahaja pengusaha komersil di negara ini mempunyai
pengalaman dalam mengeksport produk makanan laut, pengalaman mereka telah
menunjukkan bahawa untuk lebih berdaya saing dan berkekalan dalam bidang
yang diceburi, mereka perlu mempunyai sistem kawalan kualiti seperti
Hazard Analysis Critical Control (HACCP) dan Good Manufacturing Practice (GMP)
dalam strategi pengurusan kilang mereka. Dalam hal yang sama, Kementerian
Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama bekerjasama dengan SIRIM Sdn. Bhd.
dari Malaysia bagi pensijilan produk-produk yang akan dieksport. Dengan
adanya kerjasama ini, produk-produk yang dihasilkan mestilah memenuhi
kualiti dan piawaian yang telah digariskan oleh SIRIM Sdn. Bhd. bagi
membolehkan produk tersebut disijilkan. Produk-produk ini hanya akan
diterima dan memenuhi piawaian negara pengimport yang mengenali SIRIM Sdn.
Bhd.
Pengusaha-pengusaha
lain juga sedang giat bagi memastikan kilang-kilang mereka mempunyai
sistem pengurusan seperti GMP dan HACCP.
Pengusaha
kecil-kecilan, pada masa yang sama, juga dinasihatkan untuk sentiasa
menghasilkan produk-produk yang berkualiti dan selamat.
Bagi
mendokong penghasilan produk yang berkualiti dari pengusaha-pengusaha
tempatan, Jabatan Perikanan telah mewartakan Fish Processing
Establishments (Fisheries Regulations), 2002. Dalam peraturan-peraturan
tersebut, semua kilang-kilang pemprosesan makanan laut adalah dikehendaki
untuk dilesenkan dengan Jabatan Perikanan. Antara syarat-syarat perlesenan
ialah bagi semua kilang mematuhi piawai makanan kebangsaan dan memenuhi
program kualiti assurance Jabatan.
Kerajaan
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang
Di-Pertuan melalui Kementerian Kesihatan telah me'enact' Akta Keselamatan
Makanan yang bertujuan bagi menjaga orang awam dari memakan makanan yang
tidak selamat. Pada yang sama, ianya juga menimbulkan kesedaran kepada
pengusaha permakanan dan penyedia makanan untuk memastikan makanan yang
disediakan adalah selamat untuk dimakan.
Potensi
Seperti
yang dinyatakan tadi, dengan jumlah penduduk yang kecil, pasaran tempatan
memainkan peranan yang penting bagi pengusaha meningkatkan kapasiti
pengeluaran. Bagaimanapun, potensi bagi pengeksportan dan perdagangan
globalisasi menyediakan prospek yang tinggi bagi pembesaran pasaran.
Pengusaha tempatan perlulah bertindak cepat bagi bersaing dipasaran
global. Jika kapasiti penghasilan tidak mencukupi, dengan menubuhkan
konsortium sesama pengusaha, akan membolehkan kuantiti yang mencukupi bagi
memenuhi kehendak negara-negara pengimport.
Dengan
bantuan teknikal dari Jabatan Perikanan dan bantuan kewangan dari pihak
Bank melalui Skim Kemudahan Perusahaan dan Skim Mikrokredit,
serta komitmen pengusaha-pengusaha, masalah pemasaran akan menjadi perkara
lama.
Pengusaha-pengusaha
makanan laut adalah digalakkan untuk meningkatkan aktiviti-aktiviti mereka
dan menjadi perusahaan komersil terutama sekali bagi yang berhasrat untuk
menembusi pasaran luar negara. Pada masa ini, sebuah syarikat pemprosesan
mengeluarkan keropok udang, Syarikat Seri Pekatan Sdn. Bhd., dicadangkan
untuk mengeksport produk syarikat ke pasaran antarabangsa. Kilang syarikat
berkeupayaan menghasilkan sebanyak 6 tan metrik (t.m.) produk sebulan.
Dua
buah syarikat pemprosesan udang beku, masing-masing mempunyai kapasiti 27
t.m. dan 10 t.m. sebulan, terlibat dalam pasaran eksport. Mereka ialah
Syarikat Semaun Seafoods Sdn. Bhd. dan Tuah Maju Multifoods Sdn. Bhd.
Syarikat Semaun Seafoods Sdn. Bhd. sudah pun mempunyai pengalaman
mengeksport udang beku ke negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Jepun.
Manakala Tuah Maju Multifoods Sdn. Bhd. akan mula beroperasi pada awal
tahun 2003. Syarikat ini juga telah mempunyai pembeli dari negara Jepun.
Udang-udang yang diproses dihasilkan dari kolam-kolam penternakan udang
tempatan seperti udang rostris (Litopenaeus stylirostris) dan udang
harimau (Penaeus monodon).
Selain
dari aktiviti-aktiviti yang disebutkan tadi, ada beberapa aktiviti lagi
yang berpotensi untuk dimajukan seperti industri-industri penghasilan
keropok mentah dan masak, produk tambah nilai, penghasilan ikan liking,
pengetinan makanan laut dan sebagainya. Kemudahan-kemudahan seperti tapak
industri dan sumber kewangan boleh diperolehi dengan bantuan pihak
Kerajaan. Tapak-tapak industri di Serasa, Muara dan Lambak Kanan dapat
dimajukan bagi tujuan ini. Pengusaha-pengusaha yang berminat bolehlah
menghubungi Jabatan Perikanan bagi membincangkan pelan perancangan
industri yang akan diceburi.
Penutup
Negara
Brunei Darussalam masih lagi mempunyai peluang bagi pengusaha-pengusaha
menceburkan diri dalam industri pemprosesan makanan laut. Nilai industri
bagi industri pemprosesan berjumlah B$ 17 juta setahun dan pada masa ini
masih lagi belum tercapai. Pengusaha-pengusaha adalah dialu-alukan untuk
berkecimpung dalam industri ini bagi sama-sama mendokong hasrat Kerajaan
Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk meningkatkan ekonomi negara dan tidak
bergantung terus kepada sumbangan dari industri minyak dan gas.
Nota :
JPi, 2002. Program dan Fokus 2001 - 2005 : 2001 Rebiu Hujung Tahun.
Jabatan Perikanan (Tidak Dicetak).
JPKE, 2001. Rancangan Kemajuan Negara Ke Lapan 2001 - 2005. Jabatan
Perancangan dan Kemajuan Ekonomi. 248 ms.