
Penguatkuasaan Moratorium atas Operasi
Menangkap Ikan di Zon 1
BELAIT, 12
April 2007, Khamis - Jabatan Perikanan Kementerian Perindustrian dan
Sumber-Sumber Utama akan melaksanakan dan menguatkuasakan Moratorium
keatas operasi menangkap ikan di Zon 1 bermula 1 Januari 2008 akan
datang sebagai program menangani kepupusan atau penurunan sumber
perikanan marin di negara ini.
Perkara itu dijelaskan
dalam Majlis Jerayawara Melaksanakan Moratorium oleh Jabatan Perikanan
keatas operasi menangkap ikan di Zon 1 di Dewan Kemasyarakatan Kampung
Pandan dekat sini.
Menyempurnakan Perasmian
Jerayawara ialah Pegawai Perikanan Kanan Awang Haji Ajamain Haji Sawal
manakala taklimat-taklimat disampaikan oleh Pegawai Perikanan Kanan,
Dayang Ranimah binti Haji Abd Wahab dan Penolong Pegawai Perikanan,
Awang Ishak bin Jaruddin.
Pada hadirin yang terdiri
daripada nelayan-nelayan dan pengusaha-pengusaha syarikat menangkap ikan,
penghulu dan ketua-ketua kampung telah diberi penerangan mengenai
"Moratorium" yang bermaksud penggantungan atau penangguhan aktiviti
penangkapan ikan sementara sehingga sumber perikanan marin akan kembali
ketahap yang berkekalan di kawasan Zon 1 dari 0 hingga tiga batu nautika
dari pantai termasuk Teluk Brunei.
Dayang Ranimah dalam
taklimatnya menjelaskan Moratorium itu dilaksanakan setelah hasil kaji
selidik Jabatan Perikanan yang dijalankan sejak tahun 1982 hingga
sekarang mendapati potensi perikanan telah menurun sebanyak 43 peratus
terutama di kawasan Zon 1. Selain isu yang lain termasuk tekanan keatas
sumber dan eksploitasi penangkapan ikan yang berlebihan di kawasan
berkenaan.
-
Ehsan daripada Media Permata -