
Penyelidikan Menilai Sumber Perikanan Negara
MUARA, 13 Jun 2007, Rabu -
Laporan awal penyelidikan perikanan bersama antara Brunei selaku negara
ahli Pusat Pembangunan Perikanan Asia Tenggara (SEAFDEC) dan Universiti
Kebangsaan Perikanan Jepun (NFU) melalui anggaran jumlah biojisim
menerusi bunyi gema kuantitatif mendapati terdapat banyak kumpulan ikan
sebelum matahari terbit dan majoriti komponen kumpulan spesies itu ialah
Bregmaceros sp.
Melalui bunyi gema
kuantitatif itu juga, mereka mendapati leptocephalus larvae dari
keluarga belut adalah komponen kedua penting dalam pelagik ekosistem.
Analisis kumpulan spesies ikan kerisi (benthic fish) pula menunjukkan
majoriti ikan kerisi adalah sirip benang jenis nemipterus, kata Profesor
Bersekutu NFU, Dr Chifumi Imai kepada media hari ini.
Katanya, dalam tempoh
penyelidikan, mereka menangkap lima spesies dengan sirip benang berwarna
kuning adalah yang paling banyak. Ikan itu agak mahal di Jepun dan
menjadi sumber utama dalam hidangan surimi sejak beberapa tahun
kebelakangan selain tangkapan ikan branchiostegus yang juga merupakan
ikan agak mahal di Jepun, katanya.
Beliau memberitahu media,
mereka menggunakan radar khusus yang boleh memantau ikan sehingga
kedalaman 1,000 meter tetapi dalam penyelidikan ini, mereka hanya
menggunakan kedalaman 70 hingga 130 meter. Dan melalui radar itu,
jelasnya, mereka boleh mengetahui berapa banyak ikan yang terdapat dalam
kawasan penyelidikan yang mereka laksanakan.
Ikan-ikan yang ditangkap
akan dibawa balik ke Jepun untuk penyelidikan seterusnya, katanya.
Menurutnya, kawasan
penyelidikan perikanan yang mereka jalankan di negara ini adalah dari 30
hingga 40 batu nautika luar pantai.
Menyentuh mengenai kapal
yang digunakan bagi latihan perikanan, jelasnya 'Tenyo Maru' adalah
kapal latihan perikanan NFU yang menjalankan latihan navigasi di Laut
China Selatan, Teluk Thailand dan Laut China Timur dari 17 Mei lalu
hingga 11 Julai nanti.
Seramai 37 kadet terdiri
daripada 16 orang dari kursus navigasi dan perikanan dan 31 dari kursus
kejuruteraan marin mengikuti latihan perikanan di negara ini dan di
Bangkok, katanya.
Katanya, jarak keseluruhan
latihan pelayaran itu meliputi 6,732 batu nautika dalam 56 hari dan
kesemua kadet akan mempelajari semua aktiviti berkaitan hasil
pengeluaran perikanan, navigasi, kejuruteraan dan pengawasan
oceanografik di peringkat profesional.
Penyelidikan bersama
antarabangsa dan latihan pelayaran itu diatur oleh NFU, Jabatan
Perikanan Brunei dan SEAFDEC yang bermula dari 4 hingga 12 Jun yang
bertujuan menilai pengagihan serta banyaknya sumber perikanan menerusi
tinjauan akustik hidro negara ini, tambahnya.
-
Ehsan daripada Media Permata -