The Government of Brunei Darussalam

 

Siaran Akhbar
Majlis Pelancaran eFisheries

BERAKAS, 18 Jun 2007, Isnin - Sebuah perkhidmatan dalam talian (online) baru, eFisheries, dilancarkan secara rasminya hari ini oleh Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Negara Brunei Darussalam. Ianya adalah sebahagian daripada projek eMIPR yang merupakan salah satu projek eKerajaan  dan ianya juga adalah sebagai satu inisiatif Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama bagi menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam supaya perkhidmatan awam menjadikan tahun 2007 ini sebagai wadah meningkatkan pemberian perkhidmatan kepada orang ramai bagi memenuhi peranannya selaku pemudah-cara pembangunan negara.

Perkara ini telah ditekankan oleh Dato Paduka Haji Mohd. Hamid bin Haji Mohd. Jaafar, Setiausaha Tetap, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Negara Brunei Darussalam, semasa pelancaran rasmi jerayawara eFisheries di Dewan Setia Pahlawan, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama pada hari ini.

Melalui eFisheries, para pengusaha industri perikanan, pelabur dan orang ramai boleh mendapatkan pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Perikanan, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan seperti permohonan dan membaharui lisen perusahaan perikanan, permit import dan eksport, dan sebagainya pada bila-bila masa.

Perjalanan Projek eFisheries Jabatan Perikanan bermula dengan pengendalian dan perlaksanaan projek ‘Network Infrastructure’ yang bermula pada awal tahun 2005 dan siap pada tahun 2006, yang menelan belanja sebanyak $248,000.  Dengan terlaksananya projek ini, ianya membolehkan ‘inteconnectivity’ di antara Ibu Pejabat Jabatan Perikanan dengan stesen-stesen dan cawangan-cawangan Jabatan di seluruh negara.

Seterusnya Jabatan memulakan fasa kedua perlaksanaan eFisheries yang dikendalikan secara bersepadu oleh Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama.  Fasa kedua eFisheries adalah ‘Application?’ yang mengandungi dua komponen iaitu Release 1a mengenai dengan ‘Business Facilitation Services (BFS)’ dan Release 1b mengenai ‘Management Information System (MIS)’. Projek release 1a BFS bermula pada bulan Februari tahun 2006, dengan ‘User Requirement Study (URS)’, atau penyediaan kehendak-kehendak penguna, penyediaan sistem dan ‘User Acceptance Test (UAT)’ yang termasuk latihan-latihan dan bengkel yang melibatkan penguna-penguna di Jabatan. Projek release Ia telah siap semuanya pada bulan April, 2007, dan pada hari ini akan dilancarkan secara rasminya untuk digunakan oleh stakeholders yang berkenaan khususnya dan amnya oleh orang ramai.

Pada jangka panjang, adalah menjadi hasrat Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama agar Perkhidmatan Pemudahan Perniagaan eMIPR akan menjadi “Single Window” kepada perkhidmatan-perkhidmatan pemudahan perniagaan  bersepadu  bagi para pengusaha  dan  pelabur. Ianya  akan  dapat merentasi keseluruhan agensi-agensi kerajaan dan swasta yang mana perkhidmatan-perkhidmatan perniagaan agensi-agensi berkenaan sangat diperlukan oleh para pengusaha dan pelabur bagi memudahkan mereka membuat pelaburan dan menjalankan perniagaan yang menguntungkan di negara ini.

Bagi memudahkan para pengusaha mendapatkan khidmat bantuan khususnya dalam perkidmatan secara online ini, Pusat Bantuan Perniagaan eMIPR telah pun ditubuhkan di Pusat Maklumat Industri dan Perdagangan, di bangunan kementerian ini. Disamping itu juga, perkhidmatan-perkhidmatan yang serupa juga akan diadakan di cawangan-cawangan pejabat di Daerah-Daerah diseluruh negara. Ianya akan dikendalikan oleh pegawai-pegawai bantuan IT bagi membantu orang ramai khususnya para pengusaha-pengusaha. Dengan adanya perkhidmatan secara online ini, ianya akan menjadikan pengusaha-pengusaha di negara ini setanding dengan pengusaha-pengusaha luar negara yang telah menjadikan IT sebagai salah satu tools dalam  pengurusan seharian dan meningkatkan perniagaan mereka. 

Inisiatif eFisheries ini dihasratkan sebagai pemudah cara kearah mencapai wawasan Jabatan Perikanan iaitu “Perikanan yang berkekalan dan berdayasaing menyumbang kearah ekonomi yang pelbagai. Perubahan kepada eFisheries yang cepat, cekap dan mesra niaga akan membolehkan para pelabur dan pengusaha tempatan dan luar negara yang berhasrat untuk menubuhkan sesebuah industri perikanan di Negara Brunei Darussalam untuk mendapatkan lisen-lisen dan perkhidmatan-perkhidmatan yang diperlukan dari Jabatan Perikanan. Ini akan dapat meningkatkan lagi sumbangan industri perikanan kepada program mempelbagaikan ekonomi negara.

Para pengusaha dan pelabur di sektor industri perikanan adalah digalakkan untuk menggunakan dan memanfaatkan sepenuhnya kebaikkan Perkhidmatan Pemudahan Perniagaan eFisheries ini bagi mencapai daya saing dan meningkatkan daya maju. Kejayaan pengunaan perkhidmatan-perkhidmatan dalam eFisheries merupakan juga satu refleksi pengusaha-pengusaha sendiri dalam sejauh mana insentif pihak Kerajaan dalam membantu meningkatkan perusahaan mereka digunakan sepenuhnya. Adalah dianggarkan sebanyak lebih seratus pengguna yang terdiri dari syarikat-syarikat pengimport dan pengeksport perikanan akan menggunakan khidmat eFisheries ini secara tetap setiap bulan bagi menjalankan operasi perniagaan mereka.

Hadir di majlis pelancaran tersebut ialah Pengiran Hajah Mariana binti PDNLDR Pg. Haji Abd. Momin, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Negara Brunei Darussalam, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-pegawai Kanan, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, dan pengusaha-pengusaha industri perikanan yang terdiri dari seramai 127 syarikat-syarikat nelayan, 83 syarikat pengimport dan pengeksport, 36 syarikat penangkapan ikan, 47 syarikat ternakan ikan dan udang dan 15 syarikat pemprosesan makanan laut

Jabatan Perikanan,
Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama,
Negara Brunei Darussalam.
18 Jun 2007.


|| Introduction | Programmes & Focus | Organisational Chart | Client's Charter | Divisions | Potential Investment |
Fisheries Industry Directory | Tender Notices | Download Application Forms | On-line Applications | Feedback ||

|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||