The Government of Brunei Darussalam

 

eFisheries Tingkat Keberkesanan
Penyampaian Perkhidmatan

BERAKAS, 18 Jun 2007, Isnin - Projek eMIPR adalah salah satu projek eKerajaan yang dikendalikan sebagai inisiatif Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama untuk menyahut Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam supaya perkhidmatan awam dapat menjadikan 2007 sebagai tahun bagi meningkatkan pemberian perkhidmatan kepada orang ramai dalam memenuhi peranan sebagai pemudah cara pembangunan negara.

Projek yang dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bermula 5 Februari lalu itu merupakan penyaluran perkhidmatan pemudahan perniagaan Kementerian Perindustrian dan sumber-Sumber Utama dan jabatan-jabatan di bawahnya secara dalam talian.

Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, kata Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Dato Paduka Haji Mohd Hamid Haji Mohd Jaafar, berhasrat bagi jangka panjang menjadikan Perkhidmatan Pemudahan Perniagaan eMIPR, sebuah jendela kepada perkhidmatan pemudahan perniagaan bersepadu bagi pengusaha dan pelabur.

Perkhidmatan itu dihasratkan untuk merentasi keseluruhan agensi kerajaan dan swasta yang mempunyai perkhidmatan yang diperlukan oleh pengusaha dan pelabur dalam memudahkan mereka membuat pelaburan serta menjalankan perniagaan yang menguntungkan di negara, kata beliau ketika berucap di majlis pelancaran Jerayawara e-Fisheries yang diadakan di Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, hari ini.

Pusat Bantuan Perniagaan eMIPR yang ditubuhkan di Pusat Maklumat Industri dan Perdagangan, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama juga merupakan usaha berterusan kementerian dalam memudahkan para pengusaha mendapatkan khidmat bantuan dalam perkhidmatan secara online. Perkhidmatan itu juga, jelas Dato Paduka Haji Mohd Hamid, akan ditubuhkan di cawangan dan pejabat di daerah-daerah di seluruh negara yang dikendalikan oleh pegawai IT bertujuan membantu orang ramai serta pengusaha menggunakan perkhidmatan itu dengan sebaik-baiknya.

Pelancaran eFisheries akan memberikan peluang pengusaha industri perikanan, pelabur dan orang ramai mendapatkan maklumat serta perkhidmatan yang disediakan dan meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai yang mudah digunakan dan tanpa kos tambahan kepada pengguna.

Inisiatif eFisheries turut dihasratkan menjadi pemudah ke arah mencapai wawasan Jabatan Perikanan iaitu 'Perikanan yang berkekalan dan berdaya saing yang menyumbang ke arah kepelbagaian ekonomi' dengan perubahan eFisheries yang cepat, cekap dan mesra niaga akan membantu para pelabur dan pengusaha tempatan serta luar negeri menubuhkan satu perusahaan dalam industri perikanan mendapatkan lesen dan perkhidmatan yang diperlukan dari jabatan berkenaan dengan cepat serta mudah dalam masa yang ditetapkan.

Dato Paduka Haji Mohd Hamid berharap perkhidmatan itu akan dapat membantu pengusaha industri perikanan tempatan mencapai daya saing dan meningkatkan daya maju dengan keupayaan penurunan kos, peningkatan produktiviti, pendedahan pasaran yang meluas dan peningkatan keuntungan perusahaan mereka.

Beliau turut menyarankan kepada para pengusaha untuk memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan eFisheries supaya membolehkan mereka mengatasi kekurangan yang wujud seperti kapasiti rendah, sumber yang terhad dan pasaran yang terbatas. Perkhidmatan itu turut diharapkan, kata beliau lagi, akan menjadikan pengusaha tempatan setanding dengan pengusaha luar negara yang menggunakan IT sebagai salah satu komponen dan alat dalam meningkatkan perniagaan mereka.

eFisheries Sedia Kemudahan Secara Online

BERAKAS, 18 Jun 2007, Isnin - Projek eFisheries oleh Jabatan Perikanan adalah salah satu usaha berterusan jabatan itu memberikan para pengusaha industri perikanan, pelabur dan orang ramai, cara mendapatkan pelbagai perkhidmatan disediakan jabatan berkenaan dan agensi kerajaan yang berkenaan seperti permohonan dan membaharui lesen perusahaan perikanan, secara online sebagai salah satu inisiatif Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama untuk meningkatkan penyediaan perkhidmatan kepada orang ramai dalam memenuhi peranan sebagai pemudah cara pembangunan negara.

Sehubungan itu, eFisheries, dilancarkan secara rasmi oleh Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama hari ini. Jabatan itu juga melancarkan Jerayawara eFisheries yang disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Dato Paduka Haji Mohd Hamid Haji Mohd Jaafar di Dewan Setia Pahlawan, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Pengiran Hajah Mariana Pengiran Haji Abdul Momin, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian serta pengusaha industri perikanan yang terdiri daripada 127 syarikat nelayan, 83 syarikat pengimport dan pengeksport, 36 syarikat penangkapan ikan, 47 syarikat ternakan ikan dan udang serta 15 syarikat pemprosesan makanan laut.

Pengarah Perikanan, Hajah Hasnah Ibrahim dalam ucapan beliau menyatakan bahawa Projek eFisheries bermula dengan pengendalian dan perlaksanaan projek Infrastruktur Rangkaian pada awal 2005 yang siap pada 2006 dengan menelan belanja $248,000.

Beliau menjelaskan bahawa dengan perlaksanaan projek itu, membolehkan perhubungan di antara ibu pejabat Jabatan Perikanan dengan stesen dan cawangan jabatan berkenaan di seluruh negara. Jabatan itu memulakan fasa kedua perlaksanaan eFisheries yang dikendalikan secara bersepadu oleh kementerian iaitu Online Application yang mengandungi dua komponen, Release 1a mengenai dengan Perkhidmatan Fasilitasi Bisnes dan Release 1b mengenai dengan Sistem Pengurusan Maklumat.

Projek Release 1a yang bermula pada Februari 2006 dengan penyediaan kehendak pengguna, penyediaan sistem dan User Acceptance Test termasuk latihan serta bengkel yang melibatkan pengguna di Jabatan Perikanan, siap pada April 2007 dan dilancarkan untuk digunakan oleh pihak yang berkenaan dan orang ramai, hari ini. Projek Release 1b pula dijangka akan dilaksanakan pada penghujung 2007.

Pelancaran eFisheries akan memberikan peluang pengusaha industri perikanan, pelabur dan orang ramai mendapatkan maklumat serta perkhidmatan disediakan dan meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai yang mudah digunakan dan tanpa kos tambahan kepada pengguna.

Inisiatif eFisheries turut dihasratkan untuk menjadi pemudah ke arah mencapai wawasan Jabatan Perikanan iaitu 'Perikanan yang berkekalan dan berdaya saing yang menyumbang ke arah kepelbagaian ekonomi' dengan perubahan eFisheries yang cepat, cekap dan mesra niaga akan membantu para pelabur dan pengusaha tempatan serta luar negeri menubuhkan satu perusahaan dalam industri perikanan mendapatkan lesen dan perkhidmatan yang diperlukan dari jabatan berkenaan dengan cepat serta mudah di dalam masa yang ditetapkan. Acara hari ini turut menyaksikan sesi taklimat mengenai eMIPR oleh Ketua Pegawai Maklumat, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, haji Zaini Madaros.

- Ehsan daripada Media Permata -


|| Introduction | Programmes & Focus | Organisational Chart | Client's Charter | Divisions | Potential Investment |
Fisheries Industry Directory | Tender Notices | Download Application Forms | On-line Applications | Feedback ||

|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||