
Bengkel Bermatlamat Memberi Kefahaman Mengenai Penyakit Udang
BERAKAS, 13 Ogos 2007, Isnin -
Masalah jangkitan
penyakit udang merupakan salah satu cabaran utama yang menjejaskan
pertumbuhan perusahaan udang di dunia dan Bengkel Mengenai Kesihatan
Udang Antarabangsa diadakan bertujuan untuk memberikan kefahaman
mengenai penemuan terbaru serta usaha terkini berhubung dengan
pengurusan dan mengenal pasti penyakit.
Lebih 80
peserta yang terdiri daripada pegawai kerajaan, penuntut, pengusaha
ternakan udang dan peserta dari luar negara seperti negara-negara Asia
Tenggara dan China dan Iran menyertai bengkel yang bermula hari ini
hingga 15 Ogos.
Bengkel anjuran bersama Jabatan Perikanan, Kementerian Perindustrian dan
Sumber-Sumber Utama, Integrated Aquaculture International dengan
kerjasama Universiti Brunei Darussalam itu dirasmikan hari ini oleh
Timbalan Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama Dato Paduka Haji
Hamdillah Haji Abdul Wahab.
Bengkel itu juga bermatlamat untuk memberikan kefahaman mengenai status
penyakit udang global, strategi berkesan dalam pengurusan kesihatan
udang, teknik bagi mengenal pasti penyakit serta kemudahan untuk
pembiakan dan penghasilan udang di tahap bio-secure.
Bengkel itu
dimulakan dengan sesi ceramah yang disampaikan oleh penceramah undangan
dari Universiti Arizona, Amerika Syarikat, Dr Donald Lightmer dan Rita
Redman serta dari Universiti James Cook, Australia, Dr Leigh Owens.
Sesi ceramah memberikan penerangan mengenai kaedah mengenal pasti
penyakit menggunakan tenik molekular dan klinikal dan status jangkitan
penyakit.
Para peserta bengkel juga akan mengadakan lawatan teknikal dan tinjauan
ke atas kemudahan Jabatan Perikanan, ladang pengusaha udang termasuk
pembinaan Telisai Fasa II bertujuan untuk memantau perkembangan terkini
industri akuakultur negara.
Dalam lawatan itu juga para peserta akan menyaksikan penubuhan Pusat
Kesihatan Haiwan Akuatik dan penghasilan udang harimau bebas patogen
khusus yang dikendalikan oleh Jabatan Perikanan dan Intergrated
Aquaculture International.
Mereka juga akan membuat latihan praktikal menganalisis jangkitan
penyakit yang diadakan di Universiti Brunei Darussalam.
-
Ehsan daripada Media Permata -