
Brunei Perlu Tingkatkan Potensi Sektor Akuakultur
BERAKAS, 13 Ogos 2007, Isnin -
Brunei masih mengimport
kira-kira 50 peratus keperluan ikan negara dengan dianggarkan setiap
penduduk menggunakan 45 kilogram setahun yang merupakan salah satu
jumlah tertinggi di ASEAN walaupun menurut perangkaan terkini potensi
perikanan Brunei dianggarkan bernilai kira-kira $200 juta setahun.
Jumlah itu
dua kali lebih daripada keluaran kasar perikanan sekarang dan
memandangkan keluasan perairan negara yang kecil, pembangunan berterusan
dalam sektor berkenaan harus tertumpu kepada sektor akuakultur dan bukan
kepada sektor perikanan tangkapan, Timbalan Menteri Perindustrian dan
Sumber-Sumber Utama Dato Paduka Haji Hamdillah Haji Abdul Wahab berkata
demikian ketika berucap pada majlis Pembukaan Bengkel Kesihatan Udang
Antarabangsa di Berakas, hari ini.
Beliau
berkata sektor akuakultur berdasarkan kepada tapak yang sedia ada
mempunyai nilai potensi berjumlah $71 juta setahun dan perangkaan itu
menurutnya lagi adalah kira-kira 14 kali ganda daripada jumlah
perniagaan akuakultur sekarang.
Beliau menegaskan bahawa sasaran pertumbuhan sektor itu harus bertumpu
kepada akuakultur ternakan udang.
Sehubungan
itu, untuk mencapai pembangunan dalam sektor berkenaan, Jabatan
Perikanan menyediakan sebanyak 12 ladang ternakan udang swasta, dua
ladang penetasan dan tiga loji pemprosesan serta mengenalkan spesies
udang Penaeus Stylirostris bagi memberikan perbezaan kepada udang
ternakan Brunei dengan negara-negara serantau.
Hasil
permulaan ternakan udang menunjukkan hasil yang memberangsangkan tetapi
disebabkan cabaran global seperti wabak penyakit, harga udang yang
menurun, harga makanan ternakan yang meningkat dan permintaan pengguna
yang meningkat bagi makanan hasil semula jadi memberikan kesan kepada
pasaran dan juga pengusaha ternakan udang, kata Dato Paduka Haji
Hamdillah.
Beliau
berkata untuk mengatasi masalah itu Jabatan Perikanan melaksanakan
Projek Pembaharuan tiga tahun dengan kerjasama syarikat teknologi
akuakultur Amerika Syarikat, Intergrated Aquaculture International,
untuk meningkatkan dayang saing penternak udang tempatan dengan
mengurangkan kos, meningkatkan keupayaan pengeluaran dan untuk menarik
minat pasaran premium.
Hasil dari
projek itu, katanya lagi, menunjukkan hasil pulangan yang menggalakkan
dan Jabatan Perikanan juga meningkatkan pengawalan sektor berkenaan
serta menggalakkan lebih banyak penyertaan pengusaha dan persatuan dalam
proses pemantauan dan pengawalan untuk meningkatkan produktiviti sektor
berkenaan.
Brunei juga berhasrat menjadi pusat kecemerlangan serantau dalam
teknologi dan perkhidmatan akuakultur dengan pengeluaran dalam
kesihatan, pembiakan, pemakanan dan pengurusan udang bagi meningkatkan
produktiviti kepada pihak-pihak berkenaan diberikan keutamaan.
Menurut perangkaan semasa, jumlah kerugian global dalam industri
akuakultur adalah kira-kira $9 bilion setahun iaitu kira-kira 15 peratus
nilai pengusahaan ternakan ikan dan udang sedunia.
Sehubungan itu, Dato Paduka Haji Hamdillah menekankan bahawa keutamaan
negara harus tertumpu kepada penubuhan Makmal Kesihatan Haiwan Akuatik
yang berteknologi tinggi untuk menyumbang ke arah pembangunan dalam
pembiakan, pemakanan dan pengurusan kolam ternakan.
Beliau menjelaskan menerusi kerjasama dengan Integrated Aquaculture
International telah memberikan hasil yang positif, namun itu hanya
permulaan kepada usaha untuk meningkatkan pengeluaran, jenis pemakanan
dan rekaan serta pengurusan kolam ternakan untuk memajukan pembangunan
sektor ternakan udang negara.
-
Ehsan daripada Media Permata -