
Awg Jainudin Johan Peraduan Memancing
MUARA, 19 Ogos 2007, Ahad -
Tuah ikan Buntal seberat 2.39kg menjadikan Awang Jainudin Haji Junggal
dinobatkan sebagai johan memancing anjuran Jabatan Perikanan Kementerian
Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama.
Di tempat kedua ialah Awang
Roziman Abdul Razak yang menangkap ikan Umpak seberat 0.92kg diikuti
oleh Awangku Yunus Pengiran Haji Damit yang menangkap ikan Buntal
seberat 0.74kg di tempat ketiga.
Peraduan yang berlangsung
di Kompleks Sukan Air Serasa ini telah disertai oleh 150 orang pemancing
tempatan yang berlumba-lumba untuk menangkap ikan yang paling berat
untuk memenangi hadiah yang berupa piala, kelengkapan memancing dan wang
tunai $600 sumbangan Syarikat Dalpus Technologies dan kementerian
Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama.
Di samping mempromosi
eko-pelancongan negara dan sukan memancing, peraduan ini juga menjadi
sumber pendapatan melalui sektor perikanan bagi mereka yang bergantung
sara hidup kepada hasil tangkapan ikan di negara kita, jelas Pengarah
Perikanan Hajah Hasnah Ibrahim.
Sejak tahun 2004 jabatan
perikanan telah melancarkan pengeluaran lesen bagi sukan memancing
kawasan luar pantai melebihi 3 batu nautika dari kawasan luar pantai dan
sehingga kini ia menunjukkan peningkatan yang menggalakkan, tambah
beliau lagi.
Beliau berharap agar usaha
menaikkan nama negara dalam eko-pelancongan melalui aktiviti memancing
ini akan dapat diperkembangkan bukan setakat dijadikan sukan sampingan
malahan menjadi daya tarikan negara di mata dan telinga pelancong yang
datang ke Brunei.
-
Ehsan daripada Media Permata -