
Brunei-ASEAN Kukuhkan Sistem
Pemeriksaan dan Pensijilan Perikanan
Bandar Seri Begawan -
Jabatan Perikanan, Kementerian Perindustrian Dan Sumber-sumber Utama
berusaha meningkat dan memajukan lagi produk perikanan ke pasaran global
dengan mengikuti Sistem-sistem Pemeriksaan Dan Persijilan yang diiktiraf
antarabangsa.
Selaras dengan piawaian
negara anggota ASEAN, kementerian berkenaan mengadakan Seminar
Mengharmonisasikan dan Mengukuhkan Sistem Pemeriksaan Pemakanan Dan
Persijilan Bagi Udang Dan Bivalve Molaska Brunei Darussalam dengan
negara-negara ASEAN selama dua hari bermula 26 hingga 27 November di ibu
negara.
Seminar itu bertujuan untuk
menyampaikan maklumat mengenai kepentingan mengharmonikan dan
mengukuhkan sistem Pemeriksaan Pemakanan dan Persijilan Perikanan kepada
dua kumpulan kerja berasingan dan mengumpul maklum balas bagi persediaan
Mesyuarat Strategi Serantau yang dijadualkan berlangsung di Manila,
Filipina pada Januari 2008.
Kumpulan kerja pertama
terdiri daripada agensi yang terlibat dalam pemeriksaan dan persijilan
perikanan seperti Bahagian Kawalan Mutu Keselamatan Makanan Kementerian
Kesihatan.
Kumpulan itu dilantik
sebagai Focal Point bagi Projek Program Keselamatan Pemakanan serta
Pusat Akreditasi Dan Piawaian Kebangsaan Kementerian Perindustrian Dan
Sumber-sumber Utama yang bertanggungjawab terhadap pengeluaran Sijil
Hazard Analysis And Critical Control Point (HACCP) dan Good Aquaculture
Practices (GAqP), kepada syarikat pemprosesan dan pengeluaran produk
perikanan bagi membantu mendukung produk keluaran tempatan ke pasaran
Antarabangsa.
Sementara kumpulan kerja
kedua terdiri daripada pegawai dan kakitangan Jabatan Perikanan yang
terlibat dalam kerja pemantauan dan pemeriksaan kapal tangkapan,
kompleks pendaratan ikan, kolam dan kilang pemprosesan yang menghasilkan
produk perikanan terutama produk perikanan yang akan dieksport.
Seminar itu dirasmikan
Pengarah Perikanan, Hajah Hasnah Ibrahim yang berkata seminar itu
berupaya membangunkan keupayaan agensi pengawalan negara untuk
melaksanakan dan meningkatkan sistem pemeriksaan serta persijilan bagi
penghasilan udang dan bivalve mollaska.
Sehubungan itu, tambah
beliau lagi, adalah diharapkan satu strategi bagi tujuan mengharmonikan
sistem pemeriksaan dan persijilan bagi udang dan bivalve molluska dapat
diwujudkan.
Ini akan meningkatkan
kualiti sistem pemeriksaan Jabatan Perikanan bagi membantu meningkatkan
keupayaan negara untuk memenuhi keperluan keselamatan pemakanan yang
dikenakan oleh negara pengimport seperti Kesatuan Eropah (EU).
Beliau menjelaskan pada
masa sekarang Brunei berjaya mengeksport udang, walaupun dalam jumlah
yang masih kecil ke Jepun, Korea dan Amerika Syarikat dan menjadi
matlamat negara untuk dimasukkan dalam senarai pengeksport hasil
perikanan ke EU.
Bagaimanapun untuk
menembusi pasaran EU adalah sukar kerana kehendak yang sangat ketat dan
perkara itu menjadi satu cabaran yang diharap mendapat jalan
penyelesaian dalam seminar dua hari itu
Beliau menjelaskan untuk
memenuhi kehendak itu, pencapaian piawaian seperti (HACCP) adalah perlu
dan memerlukan komitmen industri dari segi pengurusan dan tenaga kerja,
badan yang menguatkuasakan pengawalan makanan dan sokongan institusi
dari segi teknikal, penyelidikan dan institusi latihan.
Seminar dua hari itu
dikendalikan Penceramah Khas Dari Jabatan Perikanan Malaysia , wang
Hamdan Jaafar yang mengongsi pengalaman dalam mengendalikan pemeriksaan
dan persijilan produk perikanan serta menyampaikan garis panduan sistem
pemeriksaan dan persijilan mengikut piawaian yang ditetapkan.
- Ehsan daripada
Media Permata -