Home 5 Berita 5 AKTIVITI SAMPINGAN: SAMBUTAN HARI NELAYAN 2026

AKTIVITI SAMPINGAN: SAMBUTAN HARI NELAYAN 2026

Jul 2, 2026 | Berita

Jabatan Perikanan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri dengan kerjasama Universiti Brunei Darussalam (UBD), Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD) dan Poni Group Sdn. Bhd. telah berjaya menganjurkan Hari Nelayan yang berlangsung di bangunan MPABD Kuala Belait, Kuala Belait pada 2 Julai 2026. Program ini merupakan salah satu aktiviti sampingan bersempena Brunei Darussalam Expedition And Conference on Sustaining Our Oceans: Innovation, Governance And Resilience For A Blue Future yang telah diadakan pada bulan Mei dan Jun 2026 lepas.

Hadir selaku Tetamu Kehormat pada acara Hari Nelayan ini ialah Yang Mulia Awang Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad, Pemangku Pegawai Daerah Belait. Turut hadir ialah Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung Daerah Belait serta kehadiran para nelayan dari keempat-empat daerah.

Dalam ucapan alu-aluannya, Pemangku Pengarah Perikanan menekankan kepentingan kerjasama berterusan antara agensi kerajaan dan komuniti nelayan dalam memastikan sumber perikanan negara terus terpelihara untuk generasi akan datang. Sementara itu, Yang Mulia Kepten (B.) Zil Husam bin Haji Abdul Rahman, Ketua Eksekutif MPABD dalam ucaptamanya turut menegaskan kepentingan pematuhan terhadap peraturan keselamatan maritim dan langkah-langkah keselamatan semasa menjalankan aktiviti penangkapan ikan.

Program yang menghimpunkan para nelayan tempatan serta pihak-pihak berkepentingan dalam sektor perikanan ini diadakan sebagai satu inisiatif untuk mengiktiraf dan menghargai jasa serta sumbangan para nelayan dalam memajukan dan memperkukuhkan sektor perikanan negara. Sambutan ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti nelayan mengenai kepentingan pematuhan terhadap peraturan dan undang-undang perikanan yang berkuat kuasa, termasuk penguatkuasaan peraturan saiz tangkapan bagi udang bakara dan ketam serta isu peralatan menangkap ikan yang terbiar, hilang atau dibuang (Abandoned, Lost or Discarded Fishing Gear – ALDFG), yang boleh menjejaskan kelestarian sumber perikanan dan ekosistem marin.

Sejajar dengan objektif tersebut, sambutan ini menampilkan beberapa sesi taklimat yang merangkumi aspek pengurusan dan penguatkuasaan perikanan, termasuk taklimat mengenai penguatkuasaan peraturan saiz minima tangkapan bagi udang bakara dan ketam yang disampaikan oleh wakil dari Jabatan Perikanan. Program turut memberi penekanan kepada aspek pelesenan perikanan dan penguatkuasaan yang berkaitan bagi memastikan aktiviti perikanan dijalankan secara teratur, bertanggungjawab dan selaras dengan peruntukan undang-undang yang ditetapkan di dalam Akta Perikanan, Penggal 61.

Selain itu, para peserta turut diberikan taklimat mengenai keselamatan asas kehidupan di laut dan kepentingan mematuhi zon-zon keselamatan yang ditetapkan di bawah Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD). Inisiatif ini bertujuan untuk memperkukuhkan kesedaran mengenai keselamatan di laut demi menjamin kesejahteraan dan keselamatan para nelayan semasa menjalankan aktiviti penangkapan ikan.

Sebagai tanda penghargaan kepada para nelayan tempatan atas sumbangan mereka kepada industri perikanan negara, peralatan keselamatan asas seperti jaket keselamatan turut disampaikan kepada para nelayan yang hadir. Sumbangan tersebut diharap dapat menggalakkan budaya kerja yang lebih selamat serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan ketika berada di laut.

Melalui penganjuran Sambutan Hari Nelayan 2026, diharapkan agar para nelayan akan terus mengamalkan aktiviti perikanan yang bertanggungjawab, mematuhi peraturan yang ditetapkan serta mengutamakan keselamatan ketika berada di laut demi memastikan kelestarian industri perikanan negara untuk generasi akan datang.

Disediakan oleh:
Jabatan Perikanan,
Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri,

Negara Brunei Darussalam

 

 

Check out these related post also…