Jabatan Perikanan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri dengan anjuran bersama Muara International Fish Landing Sdn Bhd (MIFL SDN BHD) mengadakan Mini Karnival Perikanan selama empat hari bermula hari ini, Khamis, 2 Julai 2026 hingga Ahad, 5 Julai 2026, bertempat di Kompleks Pendaratan Ikan Muara.
Penganjuran Mini Karnival ini merupakan salah satu inisiatif dalam menyokong pengusaha perikanan tempatan untuk membekalkan produk hasil perikanan berkualiti tinggi secara terus kepada pengguna, di samping menyediakan platform kepada para pengusaha untuk berinteraksi secara langsung dengan orang awam dalam mempromosikan produk masing-masing. Inisiatif ini turut membantu memperkukuhkan keupayaan pengusaha dalam memperluaskan akses pasaran, termasuk di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Seramai 19 pengusaha yang berdaftar di bawah Jabatan Perikanan menyertai Mini Karnival ini, merangkumi tiga (3) sektor industri perikanan iaitu Industri Penangkapan Ikan, Industri Akuakultur dan Industri Pemprosesan Ikan. Para pengusaha akan menawarkan pelbagai hasil dan produk keluaran masing-masing sepanjang tempoh karnival diadakan. Aktiviti jualan akan bermula pada jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang (Khamis hingga Ahad), kecuali pada hari Jumaat, di mana jualan akan bermula pada jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi dan disambung semula pada jam 2.00 petang hingga 5.00 petang.
Orang ramai berpeluang mendapatkan pelbagai hasil laut segar seperti ikan, udang dan sotong, selain ikan ternakan laut berkualiti tinggi seperti ikan selungsong dan tilapia yang ditawarkan oleh pengusaha sektor Akuakultur. Disamping itu juga, pengusaha dalam sektor pemprosesan makanan laut pula akan memasarkan pelbagai produk berasaskan hasil perikanan seperti produk ikan beku, tambah nilai, keropok, belacan, dan ikan masin. Mini Karnival Perikanan ini juga diharap dapat meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menyokong hasil dan produk perikanan tempatan, sekali gus menggalakkan pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana dalam industri perikanan negara.
Orang ramai adalah dialu-alukan untuk mengunjungi Mini karnival Perikanan 2026 yang terbuka kepada semua pengunjung termasuk dari dalam dan luar negara.
Disediakan oleh:
Jabatan Perikanan,
Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri,
Negara Brunei Darussalam.




