Bandar Seri Begawan, Isnin, 9 November 2026
Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri melalui Jabatan Perikanan, dengan kerjasama Reef Check Brunei, Global Coral Reef Monitoring Network (GCRMN), Japan Wildlife Research Center dan Kementerian Alam Sekitar, Jepun telah mengadakan Global Coral Reef Monitoring Network (GCRMN) East Asia Regional Workshop selama dua hari bermula 9 hingga 10 November 2026 bertempat di J Hotel, Brunei Darussalam.
Bengkel tersebut telah dibuka secara rasmi oleh Tetamu Kehormat, Yang Mulia Hajah Wanidawati binti Haji Tamat, Pemangku Pengarah di Jabatan Perikanan. Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Yang Mulia Pemangku Pengarah Perikanan, diikuti dengan perasmian bengkel berkenaan.
Bengkel tersebut disertai oleh seramai 40 orang pakar dan peserta dari negara-negara anggota di rantau Asia Timur dan Asia Tenggara, termasuk Negara Brunei Darussalam, serta wakil-wakil negara anggota Coral Triangle Initiative on Coral Reefs, Fisheries and Food Security (CTI-CFF). Sepanjang bengkel tersebut, para peserta telah membincangkan status pemantauan, pemuliharaan dan pengurusan terumbu karang di negara-negara anggota melalui pembentangan laporan negara.
Perbincangan turut merangkumi kerjasama serantau, termasuk pembangunan kapasiti bagi negara-negara Pasifik Barat melalui IOC Sub-Commission for the Western Pacific (IOC-WESTPAC), serta inisiatif pemuliharaan terumbu karang di bawah CTI-CFF. Hasil perbincangan dan perkongsian sepanjang bengkel ini dijangka menyumbang kepada penyediaan Global Coral Reef Status Report 2026, serta memperkukuh kerjasama serantau dalam pemantauan dan pemuliharaan ekosistem terumbu karang.
Penganjuran bengkel ini merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh peranan Negara Brunei Darussalam sebagai hab serantau bagi perkongsian pengetahuan, kerjasama teknikal dan pembangunan kapasiti dalam bidang pemantauan serta pemuliharaan ekosistem terumbu karang. Bengkel ini juga memberi peluang kepada Negara Brunei Darussalam untuk menyumbang data dan maklumat pemantauan terumbu karang negara bagi penyediaan Global Coral Reef Status Report 2026, serta menyokong usaha mencapai sasaran global berkaitan pemuliharaan terumbu karang. Penganjuran bengkel ini diharap akan terus memperkukuh kerjasama antara Negara Brunei Darussalam dengan negara-negara anggota GCRMN serta rakan kerjasama antarabangsa dalam usaha meningkatkan keupayaan pemantauan dan pemuliharaan ekosistem terumbu karang. Melalui perkongsian pengetahuan, kepakaran dan data saintifik, usaha bersepadu di peringkat nasional dan serantau diharap akan dapat menyumbang kepada pengurusan terumbu karang yang lebih berkesan dan mampan demi memastikan kelestarian ekosistem marin untuk generasi akan datang.





