Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

SIARAN AKHBAR KENYATAAN MENGENAI VIDEO TULAR IKAN-IKAN YANG TERDAMPAR DI KAWASAN PERSISIRAN PANTAI JERUDONG, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM



​1. Berikutan penularan sebuah video di media sosial pada hari Sabtu, 10 Mei 2025, yang menunjukkan sejumlah besar ikan terdampar di kawasan persisiran Pantai Jerudong, Jabatan ini ingin menjelaskan dan mengesahkan bahawa kejadian tersebut adalah benar dan berlaku di lokasi yang dinyatakan. 

2. Jabatan Perikanan telah melaksanakan pemantauan serta analisa ke atas sampel ikan dan keadaan air di kawasan berkenaan, dan mengesahkan ianya bukan berpunca dari sebarang kejadian air kemerah-merahan (red tide) atau pencemaran sisa toksik.

 3. Pada masa yang sama, Jabatan Perikanan turut mengingatkan para nelayan supaya mengamalkan kaedah penangkapan ikan yang mampan (sustainable) dan tidak membuang hasil tangkapan sampingan (bycatch) ke laut secara tidak bertanggungjawab. Amalan ini bukan sahaja penting bagi memelihara kelestarian sumber perikanan negara, malah turut membantu dalam menjaga keseimbangan ekosistem marin serta memastikan kesinambungan hasil laut untuk generasi akan datang. 

4. Di samping itu, pihak Jabatan telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan di sepanjang persisiran Pantai Jerudong dan mencatatkan anggaran sejumlah 180 kilogram ikan terdampar yang telahpun dikutip dan dilupuskan. Sehubungan dengan itu, orang ramai dan para nelayan adalah dinasihatkan agar tidak berasa cemas atau bimbang dengan kejadian ini. 

5. Seterusnya, orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak menyebarluaskan sebarang maklumat yang belum disahkan secara rasmi oleh pihak berkuasa. Selain itu, sebarang maklumat atau pertanyaan yang berkaitan boleh disalurkan secara langsung kepada Jabatan Perikanan melalui beberapa platform terbuka dalam bentuk laman web dan akaun-akaun media sosial Jabatan.

 6. Bagi sebarang pertanyaan lanjut berhubung perkara ini, orang ramai bolehlah menghubungi Jabatan Perikanan di talian 2770068 (waktu bekerja) atau melalui e-mel di enquiry@fisheries.gov.bn.


 ​http://www.fisheries.gov.bn/SiteCollectionDocuments/PRESS%20RELEASE/SIARAN%20AKHBAR%20IKAN%20TERDAMPAR%20250511%20FINAL.docx.pdf

​Dikeluarkan oleh: Jabatan Perikanan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan Tarikh: Ahad, 13 Zulkaedah 1446H / 11 Mei 2025



Attachments