Majlis pelancaran bagi Ekspedisi Brunei Darussalam dengan tema Melestarikan Lautan Kita: Inovasi, Tadbir Urus dan Daya Tahan Lautan Demi Masa Depan Biru, bersempena dengan Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (MYCE) 2026 telah diadakan di Dewan Nur Huda, Jabatan Perikanan, Serasa, Muara. Majlis ini telah disempurnakan oleh Tetamu Kehormat, Yang Mulia Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan. Turut hadir ialah Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Tinggi dan Duta-Duta Besar serta Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.
Majlis ini dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Doa Selamat dan ucapan daripada Tetamu Kehormat diikuti dengan upacara pelepasan rasmi bagi Ekspedisi Brunei Darussalam bertemakan Melestarikan Lautan Kita: Inovasi, Tadbir Urus dan Daya Tahan Lautan Demi Masa Depan Biru. Ekspedisi ini bertujuan untuk menilai sumber marin, mengemaskini data asas serta memahami keadaan semasa ekosistem terumbu karang di kawasan perairan Pulau Pelong-Pelongan. Hasil dapatan daripada ekspedisi ini dijangka akan menyumbang kepada usaha pemuliharaan, memperkukuh pengurusan perikanan serta meningkatkan ketahanan habitat marin kritikal.
Ekspedisi yang akan berlangsung selama tiga hari, bermula dari 4 hingga 6 Mei 2026, akan memfokuskan kepada kajian menyeluruh terhadap kesihatan dan kelestarian ekosistem marin, khususnya terumbu karang di kawasan perairan Pulau Pelong-Pelongan. Ekspedisi ini menghimpunkan penyelidik antarabangsa dari Center for Ocean Plastic Studies Universiti Kyushu Jepun, Aerial Recon & Recovery (ARRI) dari United Kingdom dan Southeast Asian Fisheries Development Centre (SEAFDEC) dari Thailand bersama penyelidik dan pakar tempatan antaranya dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Poni Marine & Poni Foundation.
Semasa ucapan pelancaran tersebut, Yang Mulia Setiausaha Tetap Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan menekankan kepentingan terumbu karang sebagai asas kepada biodiversiti marin, keselamatan makanan dan produktiviti sektor perikanan negara. Ekspedisi ini juga dilihat sebagai platform penting untuk menggalakkan kerjasama saintifik, pertukaran pengetahuan serta pembangunan kapasiti dalam bidang sains marin.
Seiring dengan komitmen negara terhadap pengurusan sumber marin secara mampan, Brunei Darussalam telah melaksanakan pelbagai langkah bagi melindungi biodiversiti marin, antaranya penubuhan Kawasan Perlindungan Marin (Marine Protected Area, MPA) merangkumi lebih 20 peratus kawasan pengurusan perikanan yang mengandungi habitat penting seperti terumbu karang, kawasan asuhan dan pembiakan. Selain itu, pelaksanaan moratorium ke atas pengeluaran lesen alat pukat tunda yang telah dilaksanakan sejak tahun 2001, termasuk pengharaman keatas penangkapan dan perdagangan ikan yu yang dikuatkuasakan sejak 2012. Langkah-langkah ini membantu mengekalkan populasi ikan, menyokong pemulihan stok perikanan serta meningkatkan daya tahan ekosistem marin terhadap perubahan persekitaran.
Ekspedisi yang dianjurkan oleh Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Biodiversiti dan Penyelidikan (IBER) Universiti Brunei Darussalam (UBD), Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD) dan Poni Group Sdn. Bhd menyediakan platform bagi menyatukan pakar-pakar dan penyelidik tempatan serta antarabangsa untuk bertukar-tukar pengetahuan, berkongsi amalan terbaik, dan mengeratkan kerjasama dalam pengurusan ekosistem marin.
Hasil penemuan-penemuan saintifik daripada ekspedisi ini juga dijangka akan menyumbang kepada pengukuhan rangka kerja pemuliharaan biodiversiti Brunei Darussalam dalam mendokong pertumbuhan ekonomi biru ke arah pembangunan yang mampan. Hasil dapatan kajian-kajian melalui ekspedisi berkenaan akan dibentangkan semasa Persidangan ‘Melestarikan Lautan Kita: Inovasi, Tadbir Urus dan Daya Tahan Lautan Demi Masa Depan Biru’ yang dijadualkan akan berlangsung di Pusat Kesenian Pro Canselor, Universiti Brunei Darussalam pada 2 hingga 4 Jun 2026.