Hari Selasa-Khamis, 16hb-18hb Jamadilawal 1448H bersamaan 27hb-29hb Oktober 2026
Jabatan Perikanan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat telah mengadakan Kursus Fire Marshal selama tiga hari bagi meningkatkan pengetahuan dan kesiapsiagaan para pengusaha dalam aspek pencegahan kebakaran serta pengendalian kecemasan di premis akuakultur. Kursus ini memberikan pendedahan mengenai langkah-langkah pencegahan kebakaran, penggunaan alat pemadam api dan teknik mengangkat mangsa cedera dengan betul serta prosedur pengosongan bangunan secara selamat dan teratur.
Pelaksanaan latihan ini merupakan antara usaha Jabatan Perikanan dalam melahirkan komuniti industri akuakultur yang peka dan bersedia menghadapi sebarang kecemasan dengan memperkasa dan memperkukuh budaya keselamatan di premis akuakultur di darat mahupun di laut, di samping menyokong pematuhan terhadap piawaian Brunei Good Aquaculture Practices (BGAqP).
Jabatan Perikanan merakamkan penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat atas kerjasama serta perkongsian kepakaran dalam menjayakan latihan ini, dan kepada semua peserta atas komitmen yang diberikan.





