Home 5 Berita 5 MAJLIS SEMBAHYANG SUNAT HAJAT BERJEMAAH DAN DOA TOLAK BALA BERIKUTAN KEJADIAN AIR KEMERAH-MERAHANDI PERAIRAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

MAJLIS SEMBAHYANG SUNAT HAJAT BERJEMAAH DAN DOA TOLAK BALA BERIKUTAN KEJADIAN AIR KEMERAH-MERAHANDI PERAIRAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Nov 19, 2026 | Berita

Khamis, 9 Jamadilakhir 1448H bersamaan 19 November 2026
Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampong Jerudong

Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri melalui Jabatan Perikanan telah mengadakan Majlis Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah serta Doa Tolak Bala yang diselajurkan dengan Sembahyang Fardhu Asar Berjemaah, pada hari Khamis, 9 Jamadilakhir 1448H bersamaan dengan 19 November 2026M bertempat di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampong Jerudong. Majlis ini diadakan sebagai usaha memohon ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala agar kejadian air kemerah-merahan yang melanda perairan Negara Brunei Darussalam segera berakhir dan keadaan perairan negara kembali pulih seperti sediakala.

Majlis ini juga bertujuan memohon perlindungan dan kesejahteraan bagi seluruh rakyat dan penduduk negara, khususnya komuniti nelayan serta pengusaha sektor perikanan, di samping memohon keberkatan agar segala usaha pemantauan dan pengawalan yang sedang dilaksanakan dipermudahkan demi memelihara keselamatan makanan, kelestarian sumber marin dan kesejahteraan masyarakat.

Hadir selaku Tetamu Kehormat pada majlis berkenaan ialah Yang Mulia Mohammad Harris bin Brigadier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap (Industri), Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap, Pemangku Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Bahagian serta pegawai-pegawai dan kakitangan daripada jabatan-jabatan di bawah kementerian berkenaan. Majlis tersebut turut disertai oleh para nelayan, pengusaha akuakultur dan pengusaha-pengusaha sektor perikanan.

Sehubungan itu, Jabatan Perikanan menyeru orang ramai agar terus memberikan kerjasama dengan mematuhi langkah-langkah keselamatan yang telah dimaklumkan sebelum ini sepanjang kejadian air kemerah-merahan masih dikesan di perairan negara ini. Ini termasuk larangan menangkap, menjual, membeli dan memakan spesies ikan kecil yang disenaraikan (Lampiran 1), iaitu aur-aur, tamban, basong-basong, pusu dan kuasi, termasuk bubuk dan semua jenis kerang-kerangan, serta ikan yang ditemui mati di kawasan perairan terjejas, berikutan risiko pencemaran toksin yang boleh menyebabkan keracunan kepada manusia.

Para nelayan juga diingatkan supaya tidak menjalankan aktiviti penangkapan ikan di kawasan terjejas atau menjual spesis yang ditegah, termasuk melalui platform atas talian. Selain itu, orang ramai juga adalah dinasihatkan untuk tidak mandi atau berenang di kawasan pesisir pantai yang terjejas. Jabatan Perikanan akan terus melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan terhadap langkah kawalan yang ditetapkan demi melindungi keselamatan dan kesihatan orang ramai.

Sebarang laporan, pertanyaan atau maklumat berkenaan penjualan ikan-ikan yang ditegah, perubahan warna air atau penemuan ikan mati dalam jumlah yang banyak, bolehlah disalurkan melalui talian 2770068 pada waktu bekerja, talian hotline 8984526, atau e-mel enquiry@fisheries.gov.bn.

Check out these related post also…