Home 5 Berita 5 ACARA PELABUHAN TAKAT TIRUAN DI KAWASAN PERAIRAN ZON 1 HINGGA ZON 3 DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

ACARA PELABUHAN TAKAT TIRUAN DI KAWASAN PERAIRAN ZON 1 HINGGA ZON 3 DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Nov 10, 2026 | Berita

Bandar Seri Begawan Selasa, 10 November 2026

Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri melalui Jabatan Perikanan, dengan kerjasama syarikat pembekal yang telah dilantik oleh Jabatan, telah mengadakan majlis pelancaran bagi pelaksanaan kerja-kerja pelabuhan sebanyak 226 unit takat tiruan secara berperingkat di kawasan perairan Zon 1 hingga Zon 3, Negara Brunei Darussalam, pada 10 November 2026.

Istilah takat tiruan (atau tukun tiruan) merujuk kepada struktur buatan manusia yang ditenggelamkan di dasar laut bagi menyokong objektif utama inisiatif Jabatan Perikanan. Inisiatif ini bertujuan menyediakan habitat buatan yang menyerupai ciri-ciri terumbu karang semula jadi (natural coral reefs) untuk menggalakkan pembiakan, perlindungan, dan pembesaran hidupan marin. Kehadiran struktur ini berupaya meningkatkan produktiviti sumber perikanan serta populasi spesies ikan dan hidupan marin yang mempunyai nilai komersial tinggi. Sejak tahun 2019, Jabatan Perikanan telah melabuhkan sebanyak 1,408 unit takat tiruan di perairan negara. Dengan penambahan 226 unit melalui pelaksanaan terbaharu ini, jumlah keseluruhan takat tiruan yang telah dilabuhkan kini meningkat kepada 1,634 unit. Usaha berterusan ini mencerminkan komitmen Jabatan Perikanan dalam menyokong pemuliharaan ekosistem dan habitat marin, meningkatkan sumber perikanan serta memastikan pengurusannya dilaksanakan secara mampan demi manfaat generasi masa kini dan akan datang. Hadir selaku tetamu kehormat bagi acara berkenaan ialah Yang Mulia Hajah Wanidawati binti Haji Tamat, Pemangku Pengarah Perikanan, yang turut menyempurnakan perasmian acara bagi akviti pelabuhan takat tiruan tersebut.

Pelaksanaan program pelabuhan takat tiruan di perairan negara membawa harapan besar untuk memulihkan habitat marin yang terancam dan menyediakan kawasan pembiakan selamat bagi hidupan laut. Usaha ini bukan sahaja berpotensi menyumbang kepada keterjaminan makanan negara dan kesejahteraan nelayan pesisir pantai melalui peningkatan sumber perikanan, malah struktur takat tiruan turut berfungsi sebagai penghalang fizikal terhadap aktiviti pencerobohan pukat tunda di kawasan yang ditetapkan. Selain itu, Inisiatif ini juga berpotensi membuka peluang kepada pembangunan pelancongan rekreasi mampan, khususnya melalui aktiviti penyelaman dan pemancingan rekreasi. Maklumat lanjut mengenai Acara Pelabuhan Takat Tiruan Di Kawasan Perairan Zon 1 hingga Zon 3 Negara Brunei Darussalam bolehlah diperolehi melalui laman sesawang rasmi Jabatan Perikanan di www.fisheries.gov.bn, serta media sosial Instagram @fisheries.brunei.

Check out these related post also…