Home 5 Berita 5 MAJLIS PERASMIAN GLOBAL CORAL REEF MONITORING NETWORK (GCRMN) EAST ASIA REGIONAL SYMPOSIUM

MAJLIS PERASMIAN GLOBAL CORAL REEF MONITORING NETWORK (GCRMN) EAST ASIA REGIONAL SYMPOSIUM

Nov 11, 2026 | Berita

Bandar Seri Begawan Rabu, 11 November 2026

Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri melalui Jabatan Perikanan, dengan kerjasama Reef Check Brunei, Global Coral Reef Monitoring Network (GCRMN), Japan Wildlife Research Center dan Kementerian Alam Sekitar, Jepun telah mengadakan Global Coral Reef Monitoring Network (GCRMN) East Asia Regional Symposium pada 11 November 2026 bertempat di The Core, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Jalan Gadong A.

Simposium yang bertemakan “Monitoring for Conservation: Science-Based Management for Coral Reefs in the East Asia Region” telah dibuka secara rasmi oleh Tetamu Kehormat, Yang Mulia Haji Mohd Yusree bin Haji Junaidi, Timbalan Setiausaha Tetap (Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan) di Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, yang seterusnya menyampaikan ucapan perasmian sebelum simposium tersebut dimulakan. Simposium tersebut disertai oleh kira-kira dua ratus orang peserta yang terdiri daripada wakil-wakil kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi-institusi pengajian tinggi. Simposium ini turut menampilkan pembentangan oleh pakar-pakar serantau dan antarabangsa yang mewakili pelbagai organisasi yang terlibat dalam pemantauan dan pemuliharaan terumbu karang, termasuk Australian Institute of Marine Science (AIMS), Global Coral Reef Monitoring Network (GCRMN), Coordinating Body on the Seas of East Asia/United Nations Environment Programme (COBSEA/UNEP), National University of Singapore, Coral Triangle Initiative on Coral Reefs, Fisheries and Food Security (CTI-CFF) serta IOC Sub-Commission for the Western Pacific (IOC-WESTPAC).

Penganjuran simposium ini merupakan platform untuk membincangkan inisiatif serantau dalam pemantauan terumbu karang, program pemuliharaan, kerjasama antara negara serta usaha memperkukuh keupayaan dalam pengurusan dan pemuliharaan ekosistem terumbu karang, khususnya di rantau Asia Timur. Dalam ucapan perasmian simposium, Yang Mulia Timbalan Setiausaha Tetap menekankan kepentingan simposium sebagai wadah perkongsian ilmu pengetahuan, pertukaran pengalaman, serta peningkatan kesedaran mengenai kepentingan ekosistem terumbu karang, cabaran yang dihadapi olehnya, dan langkah-langkah yang diperlukan bagi memastikan kelestariannya. Beliau turut menzahirkan rasa berbesar hati atas penyertaan pakar-pakar serantau dan antarabangsa daripada pelbagai organisasi terkemuka, khususnya susulan penganjuran bengkel Global Coral Reef Monitoring Network (GCRMN)

yang julung kalinya diadakan di Negara Brunei Darussalam pada 9 hingga 10 November 2026 yang lalu. Kehadiran pakar-pakar berkenaan merupakan peluang bermakna bagi negara untuk menimba kepakaran, berkongsi pengalaman serta memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang pemantauan dan pemuliharaan terumbu karang. Beliau turut menekankan kepentingan meningkatkan kesedaran terhadap ancaman perubahan iklim dan fenomena cuaca ekstrem yang boleh menjejaskan kesihatan ekosistem terumbu karang. Antara ancaman yang diberi perhatian ialah fenomena Super El Niño yang berpotensi menyebabkan peningkatan suhu permukaan laut dan seterusnya meningkatkan risiko kejadian coral bleaching yang menjejaskan kesihatan, daya tahan dan kelangsungan ekosistem marin. Dalam hubungan ini, beliau juga menegaskan bahawa pemuliharaan terumbu karang tidak seharusnya dianggap sebagai tanggungjawab mana-mana satu kementerian, jabatan, atau organisasi sahaja, sebaliknya memerlukan kesedaran, pemahaman, dan penyertaan daripada pelbagai sektor, termasuk agensi kerajaan, institusi penyelidikan, institusi pendidikan, sektor swasta, serta masyarakat umum. Setiap sektor memainkan peranan yang penting, sama ada melalui sokongan terhadap penyelidikan saintifik, pemupukan pendidikan alam sekitar, penerapan amalan lestari, mahupun penggalakan penggunaan sumber marin secara bertanggungjawab.

Kerjasama dan komitmen bersepadu daripada semua pihak adalah penting bagi memperkukuh usaha melindungi persekitaran marin negara. Sehubungan dengan itu, penganjuran simposium ini diharap akan dapat menyumbang kepada usaha memposisikan Negara Brunei Darussalam sebagai hab serantau bagi perkongsian pengetahuan, kerjasama teknikal dan pembangunan kapasiti dalam bidang pemantauan serta pemuliharaan ekosistem terumbu karang. Selain itu, simposium ini juga diharap dapat meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan pemuliharaan terumbu karang melalui penglibatan pelbagai pihak, termasuk institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Maklumat lanjut mengenai Simposium “Monitoring for Conservation: Science-Based Management for  Coral Reefs in the East Asia Region” bolehlah diperolehi melalui laman sesawang rasmi Jabatan Perikanan di www.fisheries.gov.bn, serta media sosial Instagram @fisheries.brunei.

Check out these related post also…